PUTRAJAYA: Industri berkaitan landskap menyumbang sebanyak RM39.4 bilion mewakili dua peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan RM35.68 billion berdasarkan 24 jenis industi berkaitan yang dikenal pasti berpandukan senarai kod Klasifikasi Perindustrian Standard Malaysia (MSIC).
Pada masa sama, menurut beliau, sebanyak 113 buah pegangan pertanian bagi aktiviti penanaman bunga dan tumbuhan landskap direkodkan meliputi kawasan seluas 45,300 hektar (111,939 ekar) di seluruh negara.
“Negeri Johor turut mencatatkan keluasan terbesar iaitu 39,600 ribu hektar, manakala, dalam sektor pembinaan terdapat sekitar 20,537 syarikat berdaftar sebagai kontraktor landskap dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
“Melihat kepada potensi besar industri landskap negara untuk menyumbang kepada perkembangan KDNK, kementerian berhasrat menjadikan industri landskap sebagai sektor ekonomi strategik yang bukan sahaja menyumbang dari sudut estetika dan kualiti hidup, tetapi juga menjana pendapatan dan peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap merasmikan prapelancaran sambutan Hari Landskap Negara 2025, di sini hari ini.
Kor Ming berkata, sambutan Hari Landskap Negara pada tahun ini akan diadakan di Taman Bandar, Bukit laying-Layang, Pasir Gudang, Johor selama enam hari bermula 25 Jun ini menyasarkan transaksi melebihi RM10 juta berbanding sambutan pada tahun lalu.
Katanya, setiap tahun industri landskap negara akan membangun bersama sektor hartanah negara yang juga antara penyumbang besar kepada ekonomi negara dengan merekodkan penjualan sektor hartanah meningkat 18 peratus berjumlah RM230 bilion pada tahun lalu.
Jumlah itu meliputi 42,000 unit hartanah terjual dan komponen landskap antara komponen terpenting dalam transaksi hartanah itu. – UTUSAN