Ikut engkau nak berparti sampai malam, call time kena jaga - Emma Maembong

Ikut engkau nak berparti sampai malam, call time kena jaga – Emma Maembong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KITA boleh tahu seseorang itu bertahan lama dalam industri atau tidak, jika dia jaga disiplin.’ Demikian luahan pelakon, Emma Maembong.

Beliau berkongsi bukan sekali pernah menunggu lama gara-gara ada pelakon yang tidak mematuhi jadual penggambaran mereka.

Jelas Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 33, perbuatan itu bukan sahaja tidak profesional, malah melambangkan seseorang itu gagal menghormati masa dan komitmen seluruh pasukan produksi.

“Kalau kita lambat pergi tengok wayang. Filem itu tetap akan ditayangkan. Tapi kalau kita lambat datang lokasi penggambaran terutama pada waktu pagi. Semua orang akan tunggu anda.

“Anda akan menyusahkan banyak orang termasuk pengarah, jurukamera, jurusolek, pasukan yang jaga pakaian. Ikutlah engkau nak berparti sampai malam, sebab kadangkala budak muda ini mahu berparti cuma tidak tahu kemampuan diri. Esok itu boleh bangun awal atau tidak?

“Termasuk juga kalau nak buat kerja sambilan tanam pokok, berkebun atau apa. Kalau call time pukul 10 pagi kena datang setengah jam awal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular ke- 31 itu juga mendedahkan pernah disidai seharian dan dimaklumkan adegan lakonanya tidak sempat dijalankan pada hari tersebut kerana ada pelakon yang tiba lewat.

“Saya pernah datang sejak awal pagi sampai malam, lepas itu mereka minta maaf sebab tak sempat nak lakukan penggambaran. Tapi saya ini sudah tua, kalau dulu mungkin sedikit berang.

“Kini, saya ambil kopi, pulang. Balik rumah sapu minyak angin dan jaga anak. Saya kerja keras demi anak-anak juga. Begitulah sebahagian daripada pekerjaan kita sedangkan disiplin sangat penting,” tambahnya.

Bukan itu sahaja, pelakon Kimchi Untuk Awak itu juga kecewa dengan sikap segelintir pelakon baharu yang mendapat populariti dengan jalan mudah gagal memberikan komitmen yang baik semasa penggambaran.

“Tidak salah jika seseorang itu terkenal secara mengejut kemudian menjadi artis. Itu semua rezeki yang tidak pernah salah alamat. Cuma mereka sepatutnya menghargai peluang ini dan gunakan ia untuk belajar.

“Jangan jadikan peluang sebagai artis ini hanya untuk meraih perhatian, sebab awak akan ketagih. Cipta eksklusif dan cungkil bakat betul-betul.

“Tapi kebanyakan pelakon baru tidak memberi komitmen yang baik. Contohnya dalam adegan yang memerlukan close up, mereka hanya baca dialog ambil lewa dan tidak membantu kita untuk mendapatkan ‘mood’ yang betul di dalam naskhah. Bila dialog tersakiti, engkau tak baca dialog macam sakit pun.

“Sebab itulah bila ditayangkan di televisyen, kita boleh nampak ada emosi yang tidak seimbang di situ. Hasilnya tidak akan jadi cantik,” katanya.

Emma turut berkongsi bagaimana sinergi lakonan yang baik membantu kualiti sesebuah naskhah seperti drama Seribu Tahun Lagi. Ketika memikul karakter Iman, Emma bersyukur kerana pelakon seperti Azhan Rani dan Noorkhiriah memberikan komitmen yang baik apalagi melibatkan dialog dan emosi yang berat.

“Walaupun itu penggambaran babak saya, mereka yang akan minta semua orang di set untuk senyap agar saya boleh fokus. Bila mereka baca dialog untuk close up, mereka tetap akan menangis bersungguh-sungguh macam apa yang dibuat di depan kamera.

“Itu membuatkan saya senang untuk tangkap feel dan berikan tenaga yang sama di depan skrin,” ceritanya.

Sebelum mengakhiri temu ramah, Emma juga mengingatkan bahawa segala sikap kita di set penggambaran akan selalu diperkatakan. Jika baik disiplin, maka semua orang mahu bekerja dengan kita.

“Tapi kalau anda selalu lambat, mereka juga serik untuk bekerja dengan anda,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN