PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin menjelaskan kehadiran ibunya, Azizah Abdul Ghani ke hospital dalam gambar yang tular adalah disebabkan risau akan keadaan kesihatan penyanyi, Amira Othman.
Jelas Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 34, keluarganya dan Amira sudah saling mengenali, jadi ia bukan perkara aneh sekiranya ibun mahu melawat Amira yang sedang sakit ketika itu.
“Ibu risau Amira sakit sebab keluarga kita masing-masing kenal. Kita pun tak pernah dengar Amira ada masalah tekanan darah rendah sebelum ini.
“Malam itu rasanya dia sakit perut, doktor beritahu tekanan darah rendah tak boleh keluar hospital. Kita satu keluarga risau. Saya dan dia masih ada projek bersama, kalau dia tak sihat akan impak kepada saya.
“Ibu saya memang tak sempat lagi nak melawat, dia memang sudah berhajat nak pergi.
“Hari itu kebetulan saya dan ibu ada urusan bersama nak pergi ke satu tempat, dia yang cakap kalau sudah tiada apa-apa lepas ini, jom pergi melawat Amira,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah pelakon Kulit Wayang itu lagi, ibunya melawat Amira kerana sudah kenal namun tidak pasti adakah wanita itu akan melakukan layanan sama kepada rakan sekerjanya yang lain.
“Orang kata lepas hantar bunga, terus hantar emak. Ini saya nak jelaskan memang ibu sendiri nak pergi hari ketiga itu.
“Kalau rakan sekerja lain yang sakit, saya pun tak pasti adakah ibu akan melawat. Macam itulah seperti apa yang anda nampak. Lagipula kedua-dua keluarga kami sudah kenal.
“Kami sama-sama buat produk, keluarga dan adik-beradik saya pun sokong produk yang dikeluarkan Amira. Bila dia sakit semestinya keluarga kami prihatin dan melawat.
“Nak kata ibu beri restu, restu sebagai rakan sekerja itu betul,” katanya.
Terdahulu, keakraban ibu kepada Fattah Amin, Azizah dan Amira Othman selalu menjadi tumpuan warganet.
Tidak hanya memanggil Azizah dengan panggilan ‘ibu’ malah kehadirannya melawat Amira yang sakit mencetuskan perbualan warganet yang rata-rata bersetuju hubungan Amira dan Fattah menjadi kenyataan-UTUSAN