Ibu mentua sangat baik, tak pernah rasa tersisih - Mimi Lana - Utusan Malaysia

Ibu mentua sangat baik, tak pernah rasa tersisih – Mimi Lana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Mimi Lana, terharu dengan layanan baik yang diberikan ibu mentua, Rohaya Sulaiman, sejak berkahwin dengan Syafiq Kyle, Februari lalu.

Walaupun tiga beradik Syafiq Kyle adalah lelaki, mentuanya akan memastikan kedatangan Mimi ke dalam keluarga diraikan.

“Syafiq dah hidup dengan ibunya berpuluh tahun. Tapi apabila saya masuk ke dalam keluarga mereka, saya rasa sangat dialukan.

“Tak pernah sekali pun saya rasa tersisih walau saya menantu perempuan, manakala adik beradik dia semuanya lelaki,” katanya.

Mimi ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Mencari Ramlee, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mimi atau Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, pernah berkongsi ibu kepada Syafiq itu rajin memasak untuknya terutama ketika musim perayaan.

Bukan itu sahaja, pelakon The Expert itu mengakui hatinya tersentuh melihat layanan baik suami yang tidak kekok menyantuni ibu di khalayak umum.

“Saya pernah cakap Syafiq ini ‘anak emak’, tapi saya maksudkan anak emak yang baik.

“Kalau anda semua pernah nampak, jika ada tayangan filem, Syafiq bawa ibunya. Dari situ boleh nampak betapa ‘sweet’ Syafiq layan ibunya,” cerita Mimi.

Dalam perkembangan lain, Mimi kini menggalas tanggungjawab menghidupkan watak Yasmin dalam sebuah filem berlatarkan zaman 70-an bertajuk Mencari Ramlee.

“Penggambaran cerita ini sudah dilalukan dua tahun setengah yang sudah, saya pun ingat-ingat lupa.

“Tapi saya seronok berada di set ini kerana latar 70-an semuanya cantik manakala pelakon semua berkarakter.

“Cuma apa yang saya boleh kongsi, untuk filem ini saya ada upah jurulatih dialek yang ajar saya  bertutur seperti masyarakat era 70-an,” katanya.

Mencari Ramlee mengisahkan Zakaria, seorang peniru gaya P. Ramlee yang bergelut dengan masalah kewangan dan sukar mendapatkan pekerjaan.

Turut sama menjayakan filem yang bakal ditayangkan pada 19 Jun ini ialah Tony Eusoff, Sofia Jane, Megat Sharizal dengan penampilan khas Beto Kusyairy dan Amerul Affendi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN