PETALING JAYA: Bagai terus memancing perhatian, penyanyi dan pelakon, Amira Othman meluahkan rasa keliru setelah mendapat pujian daripada ibu kepada aktor, Fattah Amin iaitu Azizah Abdul Ghani.
Menurut Amira, dia keliru sama ada pujian yang diterima menerusi ruangan komen itu dibuat oleh Fattah atau pun ibunya sendiri.
“Terima kasih ibu ke anak ibu ini? Kelirulah (buat-buat keliru),” katanya.
Amira meninggalkan komen sedemikian selepas menyedari ibu kepada aktor berkenaan memuji kecantikannya di salah satu hantaran yang dimuat naiknya di Instagram, baru-baru ini.
“Cantiknya,” komen ibu Fattah ringkas.
Tercuit dengan komen tersebut, respons tersebut turut dihujani komen yang berbaur usikan dari warganet yang rata-ratanya menganggap pujian itu adalah daripada Fattah.
“Abang Long ke itu Kak Long?,” komen seorang netizen.
“Ibu puji depan-depan. ‘Ibu’ ini suka berselindung di sebalik komen,” usik seorang lagi warganet.
Keakraban Amira dan Fattah semakin menuai perhatian dalam kalangan warganet apatah lagi mereka kerap dilihat bersama membuat siaran langsung untuk mempromosi beberapa produk di TikTok.
Bagaimanapun, kedua-dua selebriti tersebut terus mengunci mulut dari mengulas mengenai status hubungan mereka meskipun sudah mendapat lampu hijau dari ramai pihak.-UTUSAN