Ibu atau kerjaya? Azhan Rani dalam dilema

Ibu atau kerjaya? Azhan Rani dalam dilema

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Meskipun tawaran lakonan setinggi gunung, keutamaan pelakon, Azhan Rani tetap tertumpu pada ibu tercinta, Salmah Budin. Tekadnya, dia mahu menjaga dan sentiasa di sisi ibunya sehingga akhir hayat.

Azhan atau nama lengkapnya Azhan Abdul Rani berkata, kebimbangannya kini adalah tahap kesihatan ibunya yang semakin uzur malah, berpotensi diserang angin ahmar.

“Keadaan kesihatan ibu saya agak uzur, umur dia sekarang sudah 79 tahun. Selera makan dia semakin berkurangan dan hanya minum susu formula serta bergantung pada ubat-ubatan saja. Berat badan pun sekitar 29 kilogram ke 30 kilogram.

“Ibu saya ada penyakit tekanan darah rendah dan berpotensi untuk diserang angin ahmar. Jadi, sebab itulah dia memang perlukan seseorang di sampingnya setiap hari,” katanya kepatda Utusan Malaysia.

Sedar ibunya semakin dimamah usia, Azhan mengakui dirinya sering berdepan dengan dilema sekiranya terpaksa meninggalkan wanita itu terlalu lama dek tuntutan kerja yang tidak menentu.

Azhan berkata, dia perlu lebih cekap dalam membahagikan masa antara kerjaya dan tanggungjawabnya sebagai anak demi mencipta sebanyak mungkin kenangan bersama insan tersayang.

“Jadual kerja saya kadang-kadang terlalu padat. Saya kalau boleh mahu meluangkan masa sepenuhnya bersama ibu saya. Tetapi, saya perlu mencari rezeki dan bekerja.

“Banyak perkara yang perlu difikirkan lebih-lebih lagi kita terikat dengan pelbagai komitmen. Saya rasa semua anak-anak mengalami masalah ini, berbelah bahagi untuk menjaga orang tua atau bekerja.

“Jadi saya perlu bijak membahagikan masa untuk bersama ibu. Pada saya, pandangan setiap individu berbeza-beza, kemampuan juga berbeza-beza. Jadi saya buat ikut kemampuan.

“Saya mahu sentiasa cipta layanan istimewa itu setiap hari buat ibu saya. Selagi ibu saya ada, itulah masa yang diberi untuk saya berkhidmat untuk dia,” kongsinya.


Persona Harun Hashim buat saya puas

Kehebatan Azhan membintangi mana-mana naskhah agung sudah semestinya tidak dapat disangkal lagi. Berilah apa sahaja watak sekali pun dia mampu meninggalkan kesan mendalam pada emosi penonton.

Bakal tampil dengan telefilem Bilal dan Abah sempena Aidiladha ini, aktor berusia 49 tahun ini mengakui teruja dapat bergandingan dengan pelakon veteran, Harun Hashim.

Kata Azhan, dia sudah lama mendambakan untuk bekerjasama dengan pelakon tersebut kerana persona yang dimiliknya cukup mengagumkan.

“Untuk drama ini, saya sendiri yang petik nama Harun Hashim. Sebahagian babak drama ini perlu dijalankan di Makkah dan Madinah.

“Namun, ketika itu kami tidak tahu siapa yang memegang watak bapa untuk drama ini. Kemudian saya cadangkan dia untuk berlakon menjadi bapa.

“Pihak produksi ada memetik beberapa nama lain, tetapi saya sukakan persona abang Harun. Dari dulu lagi saya minat dia. Alhamdulillah, dapat bekerjasama dengan dia,” katanya.

Bukan sekadar idola, Azhan menyifatkan Harun mempunyai aura yang luar biasa malah sangat mudah untuk bekerjasama menerusi naskhah tersebut.

“Saya sukakan aura dia sebagai seorang bapa. Saya berasa puas. Dia orang lama, jadi saya tak banyak kerja dengan dia. Senang untuk bekerjasama kerana dia suka berlatih banyak kali.

“Semangat dia untuk bekerja sangat kuat. Kadang-kadang saya sendiri risau dengan tahap kesihatan dia yang tidak berapa mengizinkan. Naskhah ini juga merupakan naskhah pertama dia berlakon selepas kehilangan isterinya,” jelasnya.

Selain Azhan dan Harun, telefilem arahan Pali Yahya itu turut dibintangi aktres versatile Ummi Nazeera dan akan ditayangkan pada 8 Jun di TV AlHijrah.

Bertemakan Menyahut Panggilan-Mu, TV AlHijrah juga bakal menyajikan beberapa program menarik sempena musim haji pada tahun ini iaitu Alumni Haji, Labbaikallah 2025, 30 Minit Bersama Prof. Dato’ Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah, Kisah Mutawif, Munajat Arafah, dokumentari Umrah Yatim Palestin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN