KEHADIRAN bulan Zulhijjah , umat Islam diseru menghayati kembali ajaran agung yang diwariskan Nabi Ibrahim AS dan disempurnakan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui ibadah korban. Ibadah ini bukan sekadar penyembelihan haiwan, bahkan ia menjadi medan memperkukuhkan keimanan, membina solidariti ummah serta menyucikan harta dan diri.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Imam Tua Masjid Muhammadiah Mukim Gong Manak, Abdul Rashid Mat Saman berkata, korban bukan hanya menyembelih haiwan malah turut menyembelih keegoan dan nafsu mengikis kecintaan kepada dunia.
Firman Allah SWT: “Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya dalah ketaqwaan kamu.”
(Surah al-Hajj: 37)
Menurutnya, ibadah korban adalah sunat muakkad yang sangat dituntut di mana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan korban sepanjang hayat Baginda selepas hijrah.
Katanya, ini membuktikan betapa besar nilai ibadah korban dalam kehidupan seorang Muslim bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada satu amalan anak Adam pada hari Nahar yang lebih disukai Allah melainkan menyembelih haiwan korban.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Abdul Rashid berkata, melalui korban, nilai insani dan empati dipupuk dalam jiwa Muslim dengan daging diagihkan bukan hanya untuk keluarga dan jiran, bahkan ditujukan kepada fakir miskin dan yang serba kekurangan.
“Daging korban mampu menampung keperluan makanan bagi mereka yang jarang menikmati lauk berdaging. Ibadah ini memberi ruang kepada kita untuk menyantuni mereka yang miskin dan terpinggir, sekali gus membina ikatan ukhuwah sesama Muslim,” katanya ketika ditemui di Masjid Mukim Gong Manak, Pasir Puteh, baru-baru ini.
Tambah Abdul Rashid, ibadah korban yang dilangsungkan pada hari pertama Aidiladha hingga hari-hari tasyrik adalah bentuk pendekatan diri (taqarrub) kepada Allah.
Katanya, ketika darah korban menitis ke bumi, ia menjadi saksi keikhlasan dan pengorbanan hamba kepada Allah Yang Maha Pencipta yang menggambarkan ‘ubudiyyah’, perhambaan yang tulus tanpa syarat.
“Harta yang disalurkan ke jalan Allah SWT melalui korban memberi kesan penyucian terhadap rezeki. Sepertimana zakat menyucikan harta, korban menyucikan diri dari sifat bakhil, sombong dan cintakan duniawi. Perlu diingatkan, ibadah korban bukan sekadar ritual fizikal, bahkan ia penuh disiplin dan adab. Para ulama muktabar menekankan beberapa tertib pelaksanaan yang wajar dijaga,”katanya.
Abdul Rashid berkata, disunatkan menambat haiwan dan memberinya makanan secukupnya menjelang penyembelihan selain memastikan tiada unsur syubhah yakni tidak memakan makanan dari kawasan yang diragui atau milik orang lain tanpa izin.
“Proses penyembelihannya pula berpaksikan niat Lillahi Ta’ala dan bukan untuk dipuji manusia dengan menghadap kiblat,” katanya.
Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya Allah telah menetapkan ihsan pada setiap perkara. Jika kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang baik…” (Hadis Riwayat Muslim)
Tambah Abdul Rashid, daging korban tidak boleh dijadikan upah kepada penyembelih atau pengurus malah ia perlu diagihkan kepada fakir miskin, sebahagian dimakan sendiri dan sebahagian lagi dihadiahkan.
IMAM ABDUL RASHID MAT SAMAN
USIA: 73 tahun
Asal: Kampung Dusun Durian, Bachok, Kelantan.
Sejarah pendidikan:
Pondok Pengajian Islam Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan
Pondok Seligi Pasir Puteh, Kelantan.
Pondok Dalam Huma, Pasir Puteh, Kelantan.
Berguru dengan Babo Hamid Thailand, Tok Guru Poksu Hamid Bator dan Babo Li Dalam Huma
Tugas hakiki:
Imam Tua Masjid Mahmuddiah Mukim Gong Manak, Pasir Puteh, Kelantan.