KUALA LUMPUR: Pelakon, Shiqin Kamal, tidak cerewet dalam memilih pasangan asalkan lelaki yang mahu menjadi pendamping hidupnya mempunyai kewangan yang kukuh untuk kelangsungan perkahwinan.
Menurut Shiqin atau Nur Ashiqin Mohd Kamal, 33, buat masa ini hatinya masih belum dimiliki dan hanya menyibukkan diri dengan sukan berkuda.
“Saya masih solo. Sekarang saya memang tak ada sesiapa, kalau tengok Instagram pun hanya aktif berkuda.
“Jadi, hati saya kini dimiliki kuda. Tapi saya bukanlah mahu cari lelaki yang main sukan kuda. Kalau terjumpa orang yang ada minat sama, Alhamdulillah.
“Kalau tak pun, tak mengapa, saya tak mencari. Cuma saya mahu lelaki yang ‘provider’ sebab saya mahu main suka kuda,” katanya.
Shiqin ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Martabat Misi Berdarah di Mid Valley Mall, pada Selasa.
Bukan sekadar hobi, sejak tahun lalu, Shiqin sebenarnya menyimpan harapan besar untuk bergelar atlet dan mewakili Malaysia Sukan Asia Tenggara (SEA Games).
“Saya pasang niat sebelum umur 40 tahun, saya mahu jadi wakil Malaysia dalam SEA Games.
“InsyaAllah, saya akan sertai pertandingan sukan berkuda pada hujung bulan ini buat pertama kali.
“Saya mula aktif berkuda dan memanah sejak lima tahun lalu bersama pelakon Natasha Hudson cuma tidak tetap.
“Tapi akhir tahun lalu, saya mula serius semula dan belajar ‘jumping’. Kalau tak boleh nak banggakan rakyat Malaysia dengan lakonan, kita banggakan dengan kemahiran yang ada,” ceritanya.
Tambah pelakon Ada Hantu ini lagi, sejak terlibat dalam sukan berkuda, dia mula menyedari dirinya lebih tenang terutama ketika berhadapan dengan tekanan.
“Sukan ini ajar saya untuk lebih kuat sebab tidak mudah ya kalau sudah jatuh dari kudan kemudian kita nak naik balik.
“Dengan kuda saya diajar untuk tenang. Sebab kuda hanya akan jalan kalau kita tenang. Sebelum ini kalau ada masalah sahaja rasa nak mengamuk.
“Tapi berkuda buat kita sangat tenang. Saya yakin jika ada masalah, mesti ada jalan penyelesaian,” tambahnya. -UTUSAN