KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan, dua tahun lalu.
Hakim Norma Ismail memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu di akhir kes pendakwaan.
“Selepas meneliti keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Oleh itu, tertuduh dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan ini,” kata hakim.
Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan peringkat bela diri selama empat hari iaitu pada 26 dan 30 September ini serta 2 dan 3 Oktober ini.
Sepanjang perbicaraan kes yang bermula 22 April 2024, seramai empat saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Badiuszaman Ahmad dan Muhammad Amir Hannif Ahijman manakala tertuduh diwakili peguam bela, Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Razali didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dengan menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman di Padang Astaka Chukai, Terengganu antara pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam pada 10 November 2023.
Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Beliau boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 15 November 2023, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat laporan polis susulan satu hantaran di aplikasi TikTok oleh akaun @WANCIN11 yang memaparkan kenyataan Razali mengandungi tuduhan tidak tepat dan berpotensi menjejaskan kepercayaan orang awam terhadap sistem perundangan serta penguatkuasaan negara. _UTUSAN