Hamzah percaya pertuduhan Yusoff Rawther satu konspirasi

Hamzah percaya pertuduhan Yusoff Rawther satu konspirasi

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin percaya wujud konspirasi dan penganiayaan terhadap bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther dalam kes pengedaran dadah dan memiliki senjata tiruan.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada Muhammed Yusoff selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Hamzah turut mengucapkan tahniah kepada barisan peguam yang diketuai oleh Muhammad Rafique Rashid Ali demi menegakkan keadilan.

“Saya bersama Yusoff Rawther yakin wujudnya konspirasi dan penganiayaan dalam pertuduhan ini, yang menyebabkan dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama 9 bulan 10 hari tanpa dibenarkan ikat jamin.

“Bayangkan jika ini terjadi kepada anak atau keluarga kita. Yusoff ditempatkan di blok banduan akhir, walhal beliau anak muda yang mempunyai masa depan,” katanya dalam kenyataan di platform Facebook.

Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut berkongsi video pertemuannya dan beberapa Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Muhammed Yusoff serta ahli keluarganya.

Hamzah turut mempersoalkan masa depan Muhammed Yusoff sekiranya disabitkan kesalahan di bawah pertuduhan Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Katanya, jika keputusan tidak menyebelahi Muhammed Yusoff, seseorang tidak bersalah akan dipenjara seumur hidup.

“Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat agar bangkit bersama-sama untuk memastikan dalang kepada konspirasi dan penganiayaan ini diambil tindakan, kerana kita tidak mahu sejarah penyalahgunaan kuasa berulang kembali,” katanya.

Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN