PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebelum mengakhiri prosiding pendengaran keputusan rayuan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sempat menegur pihak pendakwaan.
Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang mengetuai panel tiga hakim hari ini memberitahu, beliau terpaksa memberikan pandangan tersebut bagi mengelakkan salah tanggapan atau fitnah terhadap Mahkamah.
“Sewaktu hujahan balas oleh pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya mengingatkan mahkamah ini agar tidak terpengaruh dengan pandangan warga maya di media sosial dan sebagainya.
“Kami mendapati kenyataan atau hujahan tersebut, secara berlapik, sedikit nakal dan sesuatu yang tidak perlu apabila (pendakwa raya) mengetahui bahawa mahkamah ini tidak akan melangkaui atau tersasar daripada apa yang telah dinyatakan dalam rekod rayuan.
“Dalam kes ini, keputusan yang kami buat adalah semata-mata berdasarkan apa yang ada dalam rekod rayuan. Kami tidak pernah mempertimbangkan sebarang pandangan yang dibuat di luar rekod rayuan.
“Saya perlu menyatakan sedemikian agar perkara sama tidak ditimbulkan kerana ia (boleh) timbulkan fitnah di (kalangan) mereka yang tidak tahu hal (cara) mahkamah membuat keputusan,”kata hakim itu.
Turut bersidang pada hari ini ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Selepas membuat teguran tersebut, Hakim Ahmad Zaidi memerintahkan agar wang jamin RM330,000 yang dibayar sebelum ini dipulangkan semula kepada penjamin.-UTUSAN