Selepas hampir sedekad meninggalkan impak besar menerusi siri popular Gantung yang diadaptasi daripada novel karya Nadia Khan, kisah penuh misteri dan konflik remaja itu kini diangkat ke layar perak menerusi filem Gantung: Musketeer Code.
Masih mengekalkan tiga pelakon asal seperti Hafreez Adam, Ikmal Amry dan Brandon Salim serta gabungan pelakon baharu iaitu Shazia Rozaini dan Ben Amir, filem ini dijanjikan bakal menyuntik elemen segar dan lebih menarik kepada penonton.
Filem arahan Nadia Khan, terbitan Naddo Works itu tampil dengan penceritaan yang lebih matang, menjadi pengubat rindu bagi para peminat yang sekian lama menanti kesinambungan siri tersebut.
Hafreez atau nama sebenarnya Hafreez Adam Aizat Zahalan, 35 berkata, filem itu masih mengekalkan watak asal tetapi suasana penggambaran sedikit berbeza dan lakonan yang lebih dramatik.
“Dari segi watak, ia masih sama macam dalam siri, cuma suasana dan set kali ini berbeza dan membuatkan saya berdepan dengan cabaran yang berbeza.
“Bukan sahaja cerita yang lebih berkembang, malah persekitaran bagi mengupas kesinambungan kisah turut menggandakan kesan dramatik.
“Filem ini sebenarnya sambungan kepada siri yang terdahulu tetapi bagi mereka yang tidak pernah menonton siri, tidak mengapa kerana filem ini direka supaya mereka boleh faham terus,”katanya kepada Utusan Malaysia.
PERCAYA PADA REZEKI
Mengulas mengenai pemilihan naskah, Hafreez berkata dia tidak begitu memilih tetapi tetap berhati-hati dalam memilih projek apabila melibatkan individu tertentu.
“Setakat ini saya tidak banyak masalah dengan pelakon lain, tetapi ada seorang pelakon ini yang saya pernah bekerjasama, sangat memberi kesan kepada saya.
“Saya tidak mahu bekerja dalam suasana yang negatif, daripada bergaduh di set, lebih baik saya cari peluang lain,” katanya.
Kongsi Hafreez, dia lebih selesa menghabiskan masa di rumah dengan menghasilkan karya seninya berbanding bekerjasama dengan pelakon itu selain mementingkan kesihatan mentalnya.
“Saya percaya rezeki itu ada di mana-mana, kalau tidak berlakon, saya akan melukis di rumah, berehat sambil minum teh.
“Sekiranya saya tahu ada nama dia dalam satu projek, saya akan cuba mengelak dengan memberi alasan masa dan jadual bertembung. Saya tidak akan menyuruh mereka membuang pelakon tersebut.
“Saya rasa lebih penting untuk menjaga kesihatan mental sekarang daripada terlalu mengejar dengan apa yang ada di dunia sekarang,” jelasnya.
SELEKTIF PILIH WATAK
Setelah lebih sedekad aktif dalam industri seni, bekas peserta Hero Remaja itu mahu mencuba watak di luar kebiasaannya bagi mempelajari perkara baharu.
“Saya teringin untuk membawa watak yang berbeza seperti seorang psiko, aksi dan gelandangan. Tetapi industri seni tidak banyak sebenarnya mengetengahkan watak-watak seperti ini.
“Kalau ada pun lebih kepada watak sampingan tetapi itu tidak menjadi masalah, boleh sahaja,” jelasnya.
Katanya lagi, pada tahap ini, dia mementingkan kehidupan yang lebih seimbang iaitu kehidupan peribadi dan kerjaya setelah menyedari masa bersama keluarganya tidak begitu banyak.
“Bila berlakon, boleh kata 24 jam kita akan berada di set, kurang masa bersama keluarga dan diri sendiri.
“Contohlah dalam tempoh lapan tahun, mungkin tiga ke empat kali sahaja saya pergi bercuti. Gambar keluarga dalam telefon juga kurang sebab saya terlalu sibuk bekerja,” katanya.
Tambahnya lagi, dia tidak mahu hidup hanya untuk bekerja dan disebabkan itu dia lebih selektif bagi memastikan masa dan tenaganya berbaloi dengan bayaran yang diberikan.
“Saya fikir begini, kita bekerja untuk siapa sebenarnya? Takkan kita hidup untuk bekerja sahaja?
“Kalau esok kita mati, keluarga dapat duit, tapi kita tiada kenangan. Jadi itu yang saya fikir supaya tidak menyesal di kemudian hari.
“Selektif di sini bermaksud daripada segi bayaran yang diberikan perlu setimpal dengan kerja yang ditawarkan,” katanya.-UTUSAN