JOHOR BAHRU: Menyedari kehadiran Jabatan Imigresen, puluhan wanita warga asing yang bekerja sebagai pegawai pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan di Stulang Laut di sini, bertempiaran lari untuk meloloskan diri.
Namun, tindakan itu sia-sia apabila mereka yang kemudiannya bersembunyi di bilik rahsia berjaya diberkas dalam Op Kutip yang diadakan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, risikan selama tiga minggu membawa kepada operasi secara terancang sehingga pukul 2.15 pagi melibatkan 115 pegawai penguat kuasa.
“Ketika operasi, kita tidak dapat elakkan adegan yang cuba melarikan diri, berselindung di tempat tertentu, di balik tiang dan bilik terlindung, namun pegawai kita sudah biasa dengan keadaan itu dan dapat mengambil tindakan sewajarnya.
“Seramai 473 individu diperiksa yang terdiri daripada 196 warga tempatan dan 277 warga asing berusia antara 17 hingga 40 tahun.
“Daripada jumlah itu, seramai 236 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Setia Tropika di sini, hari ini.
Wanita warga asing yang ditahan terdiri daripada 111 warga Thailand, 43 (Vietnam), empat (Laos) dan masing-masing seorang Myanmar dan China.
Turut ditahan 76 lelaki warga asing yang terdiri daripada warga Bangladesh, India, Pakistan, Nepal, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Thailand dan China.
Tambah Jafri Embok, serbuan ke atas pusat hiburan iu bukan kali pertama dan pihaknya akan terus memantau kawasan tersebut agar aktiviti sama tidak berulang. – UTUSAN