PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memohon maaf kepada penumpang susulan gangguan bekalan kuasa alat talian atas yang menjejaskan jadual perjalanan tren.
KTMB dalam kenyataan berkata, gangguan tersebut berlaku antara Kampar dan Slim River sekitar pukul 5.44 petang semalam, menyebabkan kelewatan ketara perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter.
“Lapan perkhidmatan ETS serta dua tren KTM Komuter mengalami kelewatan lebih 60 minit kerana pergerakan tren terpaksa dilakukan secara bergilir menggunakan satu landasan sahaja.
“KTMB memaklumkan, pemakluman awal dibuat kepada penumpang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan maklumat turut dikemas kini melalui saluran rasmi media sosial syarikat itu,” katanya.
Bagi penumpang yang terkandas lebih dua jam, kru KTMB mengedarkan muffin dan air minuman di stesen dan dalam tren sebagai langkah prihatin dan tanggungjawab sosial.
“Pasukan elektrifikasi KTMB digerakkan segera ke lokasi kejadian dan segala usaha baik pulih telah berjaya diselesaikan sepenuhnya pada jam 5 pagi, 21 Jun serta perkhidmatan tren telah kembali beroperasi seperti biasa di semua laluan yang terjejas sebelumnya,” ujarnya.
KTMB menghargai kesabaran semua penumpang yang terlibat dan menzahirkan komitmen untuk terus menambah baik perkhidmatan demi keselesaan serta keselamatan pengguna.
Pihak KTMB juga menyeru orang ramai sentiasa merujuk saluran rasmi seperti Facebook, X dan Instagram bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jadual perjalanan tren.- UTUSAN