PETALING JAYA: Kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara secara konsisten dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan dibentangkan Julai nanti.
Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said berkata, kelengkapan pertahanan perlu ditambah mengikut keperluan semasa tanpa mengetepikan pembangunan teknologi dan kepakaran tempatan.
Malah katanya, langkah tersebut perlu dilaksanakan dalam konteks yang luas dengan melibatkan keupayaan pertahanan dalam beberapa aspek tertentu seperti arahan, kawalan, komunikasi, komputer, perisikan, pemantauan dan peninjauan (C4ISR).
“Sokongan belanjawan konsisten dan berfokus pada pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sangat diperlukan.
“Selain itu teknologi pertahanan terkini dengan sistem persenjataan moden terutama melibatkan kepakaran tempatan memerlukan pelaburan strategik terutama dalam perbelanjaan pembangunan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Perbelanjaan pertahanan Malaysia sekitar 1.1 sehingga 1.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini yang mahu ATM dilengkapi teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.
Dalam pada itu, Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, perbelanjaan pertahanan perlu dipertingkatkan sekurang-kurangnya dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, langkah tersebut perlu dibuat mengikut hala tuju strategik sebagaimana yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
“Belanjawan pertahanan Malaysia ketika ini tidak lebih 1.5 peratus daripada KDNK dan itu tidak mencukupi jika dibandingkan dengan negara jiran.
“Tambahan pula melihat kepada konflik terbaharu di negara lain, justeru langkah meningkatkan perbelanjaan pertahanan satu keperluan dengan menentukan apakah ancaman kita pada masa kini dan juga jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










