PETALING JAYA: Fasa pertama Kota Madani di Putrajaya yang melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep Kota Madani itu menekankan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat.
“Sewaktu pembentangan konsep tersebut hari ini, saya dimaklumkan bahawa antara kemudahan yang dirancang termasuk sekolah menegak, institusi TVET, institusi kewangan, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan sebuah masjid, semuanya akan dibangunkan berdekatan kawasan perumahan.
“Fasa pertama melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.
“Reka bentuk masjid dan sekolah akan menampilkan unsur budaya tempatan, sejajar dengan usaha mengekalkan seni bina dan warisan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.
Dalam pada itu, beliau berharap projek itu dapat dilaksanakan demi kebaikan rakyat.
“Semoga segala perancangan ini berjalan lancar dan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi manfaat bersama,” katanya.
Terdahulu, Anwar mendengar pembentangan Kota Madani disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Dengan keluasan 102 ekar, Kota Madani bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk dan dibina secara vertikal berintensiti tinggi.
Reka bentuknya mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan, prasarana digital berkecekapan tinggi dan sistem mobiliti hijau.
Menurut Zaliha, Majlis Pecah Tanah dijadualkan berlangsung pada 26 Jun ini.
“Terima kasih Perdana Menteri atas keyakinan dan pandangan bernas dalam memperhalusi hala tuju strategik Kota Madani sebagai pencetus pembaharuan ruang bandar yang lebih manusiawi serta progresif,” kata Dr Zaliha dalam Facebook.