Enam ekor bangkai babi hutan positif jangkitan ASF

Enam ekor bangkai babi hutan positif jangkitan ASF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Enam ekor bangkai babi hutan yang ditemukan di Jalan Tebrau 1 dan Dataran Ukay, Ampang dekat sini antara 28 April hingga 15 Mei lalu disahkan positif jangkitan demam babi Afrika atau ‘African Swine Fever’ (ASF).

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pihaknya telah menerima enam aduan mengenai penemuan bangkai babi hutan itu.

Menurutnya, siasatan awal telah dijalankan oleh Pejabat Perhilitan Selangor di lokasi penemuan bangkai. 

“Sampel bangkai kemudiannya dihantar ke Bahagian Konservasi Ex-Situ, Ibu Pejabat Perhilitan untuk analisis dalaman, sebelum dirujuk kepada Makmal Veterinar Zon Tengah (MVZT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi tujuan ujian pengesahan penyakit.

“Pada 20 Mei lalu, Jabatan Perhilitan telah menerima laporan rasmi daripada DVS yang mengambil maklum bahawa sampel yang dianalisis adalah positif bagi jangkitan penyakit ASF melalui kaedah ujian qPCR,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, ASF ialah penyakit virus berjangkit yang hanya menjejaskan babi hutan dan babi domestik serta tidak menjangkiti manusia atau haiwan lain dan tidak memberi risiko kesihatan awam.

Jelas beliau, Perhilitan terus bekerjasama rapat dengan DVS, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan untuk pemantauan, pelupusan bangkai dan penyahjangkitan kawasan mengikut prosedur biosekuriti sedia ada.

“Tindakan juga diambil dengan mengumpul dan menganalisis mana-mana bangkai baharu yang ditemui di lokasi berhampiran.

“Kita juga menjalankan pemantauan kesihatan populasi hidupan liar di kawasan yang berisiko selain meningkatkan survelan dan kesiapsiagaan terhadap kemungkinan penularan kes serupa di kawasan lain,” ujarnya.

Menurutnya, beliau menasihatkan orang awam agar tidak menyentuh, mengalih atau menghampiri mana-mana bangkai haiwan liar khususnya spesies babi hutan.

“Segera melaporkan sebarang penemuan bangkai haiwan liar kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut dan usah menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan isu ini agar tidak menimbulkan kegusaran awam,” katanya.

Tambahnya, sebarang aduan, penemuan atau maklumat berkaitan hidupan liar boleh disalurkan melalui Talian Hotline Perhilitan di talian 1-800-88-5151.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN