Empat tahun berlalu, naik taraf padang gagal disiapkan

Empat tahun berlalu, naik taraf padang gagal disiapkan

KEADAAN terkini projek menaik taraf padang mini Rambah, Pontian, Johor yang gagal disiapkan oleh kontraktor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Hampir empat tahun dilaksanakan, projek naik taraf padang mini Rambah dekat sini gagal disiapkan, meskipun isu itu sering dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah.

Jawapan diterima daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) juga didakwa amat mengecewakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan meminta JKR memberi penjelasan sebab kelewatan projek sakit yang dimulakan sejak 28 September 2022.

Beliau berkata, ketika ini hanya kelihatan astaka atau tempat duduk penonton dibina oleh kontraktor dan menyebabkan keluasan padang bola semakin kecil.

“Yang diminta oleh penduduk ialah menaik taraf padang tersebut menjadi lebih baik, lebih rata dan sesuai untuk permainan bola sepak, membina tandas dan bilik persalinan bukannya astaka atau tempat duduk penonton yang diberikan keutamaan.

“Kita tak faham dengan skop kerja sehingga menyebabkan berlaku kelewatan yang terlalu lama, terpaksa diberikan tambahan masa, tetapi masih gagal disiapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jefridin berkata, kegagalan projek menaik taraf menyebabkan golongan belia tidak dapat menggunakannya hingga hari ini.

Penduduk, Azhar Abu Bakar, 56, berkata, padang yang dibina pada 1980 itu merupakan tempat golongan belia bermain bola sepak termasuk anak muda dari Kampung Parit Raja, Kampung Rimba Terjun dan Kampung Parit Rambai.

“Selain berhampiran beberapa buah rumah, terdapat juga inap desa dan dewan bagi penganjuran majlis termasuk perkahwinan. Jika kawasan terbiar, ia pasti memberi persepsi buruk terutama dalam kalangan orang luar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN