Empat pelancong termasuk tiga kanak-kanak cedera, kereta rempuh pengunjung di Cameron Highlands

Empat pelancong termasuk tiga kanak-kanak cedera, kereta rempuh pengunjung di Cameron Highlands

VIDEO yang tular dalam media sosial memaparkan sebuah kereta dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sekumpulan pengunjung di Kea Farm, Cameron Highlands, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Suasana riuh di pusat jualan sayur-sayuran terkenal Kea Farm, di sini bertukar kecoh apabila sebuah kereta dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sekumpulan orang awam dalam kejadian yang tular dalam media sosial, hari ini.

Dalam insiden kira-kira pukul 12 tengah hari itu, empat pelancong termasuk tiga kanak-kanak berusia tiga tahun hingga 10 tahun dilaporkan cedera selepas dirempuh kenderaan yang meluncur laju di kawasan sesak tersebut.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 33 saat yang tersebar dalam laman sosial Facebook, khususnya dalam Group Informasi Cameron Highlands, memaparkan detik cemas ketika kereta jenis Perodua Myvi terbabit merempuh pengunjung yang sedang membeli-belah di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan kesemua mangsa  menerima rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sebelum dibenarkan pulang.

“Mangsa empat orang iaitu seorang dewasa dan tiga kanak-kanak masing-masing berusia tiga tahun, lapan tahun dan 10 tahun. Tiada kecederaan parah dilaporkan setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen yang menyifatkan kawasan tumpuan pelancong itu semakin tidak terurus dan membahayakan keselamatan awam.

“Pemandu nampak macam kena sawan,orang tarik keluar dari dalam kereta dia ‘keras kejung’,” dakwa seorang pengguna Facebook, Nurul Ika.

Orang ramai turut menggesa pihak berkuasa tempatan bertindak segera dengan menyusun semula aliran trafik dan pengurusan kawasan jualan yang semakin tidak terkawal, terutama ketika musim cuti sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN