Empat nelayan Myanmar dicekup langgar syarat tangkap ikan

Empat nelayan Myanmar dicekup langgar syarat tangkap ikan

Maritim Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tindakan empat nelayan warga Myanmar yang melanggar syarat lesen menangkap ikan membawa padah apabila mereka ditahan pihak berkuasa kira-kira 7.1 batu nautika barat daya Kampung Sungai Terap, di sini semalam.

Kesemua suspek termasuk seorang tekong berusia antara 30 hingga 41 tahun diberkas sekitar pukul 3.20 petang ketika menaiki sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 oleh kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dilakukan semasa rondaan rutin penguatkuasaan menerusi Ops Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 3.0 di kawasan tersebut.

“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru, kesemuanya warga Myanmar yang sedang leka menjalankan aktiviti menangkap ikan.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka menggunakan mata pukat kurang daripada 38 milimeter, iaitu tidak mengikut syarat lesen. Selain itu, tanda kelas kapal tidak dipamerkan mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, aktiviti perikanan itu juga dijalankan kurang daripada lapan batu nautika dari pantai tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan, yang merupakan satu lagi kesalahan serius.

Lebih memburukkan keadaan, keempat-empat individu berkenaan juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. Kesemua mereka bersama vesel, dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Maritim Malaysia terus komited memastikan kelestarian hasil laut negara dan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara sentiasa ditingkatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN