PETALING JAYA: Kisah rumah tangga pelakon, Fikry Ibrahim terus menjadi sorotan selepas isterinya, Siti Khalizah Alihan nekad memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pagi tadi.
Khabar itu sekali gus menjadi punca Instagram, pelakon tersebut diserbu oleh netizen demi mendapatkan kesahihan mengenai kehadiran isterinya di mahkamah, hari ini.
“Betul ke ni? Masing-masing sudah tidak mengikuti antara satu sama lain di Instagram,” komen seorang netizen.
“Datang dari muka buku (Facebook). Semoga baik-baik sahaja untuk kalian,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Nampak keserasian itu ada. Pertahankan. Gaduh suami isteri itu perkara biasa. Hantar bunga bagi isteri,” kata seorang lagi netizen.
Respons sedemikian secara tidak langsung membuktikan bahawa ramai yang tidak menyangka rumah tangga pasangan itu sedang dilanda badai memandangkan mereka baru sahaja berkongsi momen bahagia ketika bercuti tiga hari lalu.
Bagaimanapun, ada sesetengah netizen yang menyifatkan perkongsian yang dimuat naik sebelum ini merupakan salah satu usaha Fikry mempertahankan rumah tangganya bersama isteri.
Hari ini, peguam syarie mewakili Khalizah, Wan Muhammad Afiq Mohd. Razib mengesahkan anak guamnya memfailkan perceraian terhadap suaminya pada Mei laki atas alasan tiada lagi persefahaman.
Bagaimanapun, Fikry dikhabarkan tidak hadir ke mahkamah pada hari ini bagi melalui sebutan kes perceraian.
Peguam mewakili Khalizah turut memaklumkan anak guamnya masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan suaminya bagi mencapai pendamaian antara mereka.
Untuk info, Fikry dan Khalizah mendirikan rumah tangga pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis tertutup di Kedah.-UTUSAN