TANAH MERAH: Taktik licik dua lelaki menjadikan kebun getah di Kampung Air Kayan di sini sebagai ‘makmal’ memproses air ketum terkongkar selepas dicekup anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 5.30 petang kedua-dua suspek yang cuba melarikan dari sejurus menyedari kehadiran anggota PGA berjaya ditahan.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan di lokasi telah menjumpai 180 kilogram (kg) daun ketum.
“Kita turut menjumpai 35 bungkus air ketum serta beberapa peralatan proses minuman tersebut serta dadah jenis syabu seberat 7.30 gram.
“Saringan air kencing mendapati, kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kedua-dua suspek dan barangan rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan bernilai RM 9,850 dan disiasat mengikut Seksyen 39A (1), 12(2), 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.-UTUSAN