PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil masa lima tahun bagi menerbitkan naskhah terbaharunya, Addeen.
Catatan peribadi oleh negarawan ulung itu menghimpunkan surah-surah terpilih daripada al-Quran, lengkap dengan terjemahan, renungan, serta tadabbur beliau terhadap ayat-ayat suci tersebut.
Buku setebal 514 muka surat itu dilancarkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.
Addeen mengangkat pendekatan reflektif dan spiritual dalam menghargai keindahan serta kebijaksanaan al-Quran sebagai pedoman kehidupan.
Dr Zulkifli berkata, buku ini menghimpunkan koleksi renungan peribadi Dr Mahathir yang memperlihatkan bagaimanapun seorang negarawan menjadikan wahyu sebagai panduan utama.
“Beliau menelusuri ayat-ayat dengan mata hati seorang pemimpin bangsa dan menjadikan al-Quran
sebagai testimoni bagaimana kekuatan memimpin seorang pemimpin,” katanya.
Katanya, buku ini juga menghimpunkan elemen pengetahuan dan pengalaman dimiliki Dr Mahathir dan ia satu gabungan jelas untuk diamalkan oleh umat Islam.
Pelancaran buku Addeen ini merupakan satu lagi sumbangan intelektual dan rohaniah Dr. Mahathir kepada negara sekali gus membuktikan bahawa kebijaksanaan beliau tidak hanya terbatas kepada pentadbiran dan kenegaraan, tetapi juga meliputi dimensi spiritual dan kemanusiaan.
Buku itu dijual pada harga RM100 dan boleh didapati di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini. – UTUSAN