Dokumen Petronas perlu akujanji sebelum didedahkan ketika perbicaraan

Dokumen Petronas perlu akujanji sebelum didedahkan ketika perbicaraan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan bahawa terdapat beberapa dokumen berkaitan kes bekas pengurus Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang didakwa cuba mendedahkan maklumat sulit kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros) memerlukan proses akujanji sebelum boleh didedahkan semasa perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulhilmi Latiff menjelaskan, dokumen tersebut bersifat sulit dan hanya boleh digunakan selepas akujanji ditandatangani memandangkan pertuduhan terhadap Mohd. Khairul Akmal Mohd. Jasni, 40, melibatkan maklumat rahsia syarikat.

Katanya, pertuduhan terhadap tertuduh dibuat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu berkaitan pendedahan maklumat sulit.

Oleh itu katanya, dokumen-dokumen berkenaan perlu diklasifikasikan semula dan hanya boleh didedahkan selepas akujanji ditandatangani.

Bagaimanapun peguam bela, Fadhli Sutris yang mewakili bekas Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas itu berkata, ini merupakan kali pertama pihaknya dimaklumkan mengenai keperluan akujanji terhadap dokumen tersebut.

“Saya belum pernah dengar tentang perkara tersebut sebelum ini dan tidak tahu kandungan dokumen tersebut yang memerlukan akujanji. Anak guam saya juga perlu diberi penjelasan mengapa ia diperlukan?,” katanya.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin kemudian memberitahu, mahkamah memahami keperluan akujanji bagi dokumen yang diklasifikasikan sebagai sulit dan yang boleh digunakan semasa perbicaraan serta tidak melihat sebarang masalah berbangkit dalam proses tersebut.

“Saya beri tempoh dua bulan untuk selesaikan serahan dokumen. Saya harap tiada lagi dokumen yang tertangguh dan tertuduh tidak perlu ulang-alik ke mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 September ini sebagai tarikh sebutan akhir untuk serahan dokumen.

Pada 19 April lalu, Mohd. Khairul Akmal didakwa cuba mendedahkan maklumat dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial kepada Petros di antara pukul 3.19 dan 3.21 petang, 8 Jun 2024 di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN