RM1.7 juta sumbangan kepada waris pelajar UPSI - Utusan Malaysia

RM1.7 juta sumbangan kepada waris pelajar UPSI

MAJLIS Tahlil Perdana untuk mangsa kemalangan bas melibatkan pelajar UPSI yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, UPSI Tanjung Malim. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kira-kira 40 pihak termasuk universiti, agensi dan korporat menyatakan komitmen untuk menghulurkan sumbangan keseluruhan yang berjumlah RM1.7 juta kepada waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas tragis di Gerik minggu lalu.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, sumbangan itu telah dan akan disalurkan kepada penerima secara berperingkat.

“Sehingga hari ini, bantuan wang tunai sebanyak RM371,000 telah diserahkan kepada pelajar dan waris mangsa yang terkesan.

“Berdasarkan kutipan yang diterima, bantuan ini akan disalurkan secara berfasa bagi membantu meringankan beban pihak yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tahlil Perdana untuk mangsa kemalangan bas melibatkan pelajar UPSI di Dewan Tuanku Canselor, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Majlis yang bermula pada pukul 7 malam itu dihadiri kira-kira 5,000 warga UPSI.

Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, JRTB Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di Gerik Isnin lalu, sebuah bas persiaran membawa 42 penuntut UPSI dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV jenis Perodua Alza dinaiki empat sekeluarga.

Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera.

Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN