GEORGE TOWN : Jabatan Perikanan (DOF) Pulau Pinang mengambil serius syor dikemukakan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkaitan penambahbaikan dalam aspek penguatkuasaan pengurusan MCS (Monitoring, Control & Surveillance) ketika ini.
Pengarahnya, Zarina Zainuddin berkata, pihaknya komited melaksanakan pembaharuan dan tindakan susulan secara berterusan bagi memastikan keberkesanan operasi serta integriti dalam penguatkuasaan.
“DOF Pulau Pinang menghargai teguran serta syor EAIC dan akan terus melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan dilakukan mengikut SOP serta garis panduan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam, EAIC menerusi kenyataannya kepada Utusan Malaysia mendakwa DOF Pulau Pinang gagal melakukan tugas penguatkuasaan sewajarnya dalam mengambil tindakan terhadap pencerobohan bot-bot pukat tunda Zon B ke Zon A.
Mengulas lanjut, Zarina berkata, antara tindakan utama yang telah diambil bagi menambah baik perkara itu termasuk meningkatkan kekerapan lawatan pemantauan pengurusan ke pangkalan penguatkuasaan bagi memastikan tugasan dilaksanakan dengan baik.
“Kami turut melaksanakan audit dalaman terhadap pengurusan Buku Log Penguatkuasaan secara berterusan dan telah memperkemas sistem penyimpanan rekod bagi meningkatkan ketelusan maklumat operasi,” katanya.
Beliau juga memberitahu, dua pemeriksaan mengejut juga telah dilaksanakan tahun lepas selain pemeriksaan berkala yang dijalankan dari semasa ke semasa.
Jelas Zarina lagi, langkah lain yang diambil termasuk menganjurkan kursus serta latihan pemantapan SOP bagi memastikan pegawai penguatkuasaan memahami dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“SOP berkaitan penerimaan aduan yang disertakan bukti video juga telah disemak semula bagi mempercepat dan memperkemas siasatan.
“Mulai tahun ini, setiap aduan pelanggaran Akta Perikanan 1985, khususnya melibatkan pencerobohan bot tunda ke Zon A akan disusuli dengan laporan polis dan pembukaan kertas siasatan,” katanya.
Zarina menambah, sepanjang 2024, sebanyak tujuh aduan video pencerobohan bot pukat tunda Zon B1 dan C telah diterima, menyaksikan 13 bot disiasat dan tindakan termasuk kompaun berjumlah RM6,000 serta pertuduhan ke mahkamah telah dilaksanakan. – UTUSAN