LOS ANGELES: Syarikat media, Walt Disney, mengumumkan pemecatan besar-besaran melibatkan ratusan pekerja seluruh dunia.
Pemecatan terbaru ini melibatkan beberapa pasukan termasuk pemasaran filem dan TV, publisiti, pemilihan pelakon, pembangunan kandungan, serta operasi kewangan korporat.
Difahamkan, pemecatan ini merupakan langkah yang diambil syarikat berkenaan untuk beradaptasi dengan perubahan pola penggunaan media khususnya perkhidmatan penstriman.
Perubahan dalam tabiat pengguna telah memberi kesan kepada pendapatan iklan dan pengedaran bagi saluran tradisional.
Malah, studio mereka juga telah mengurangkan jumlah pengeluaran filem melihat kepada corak pengunjung di panggung yang masih rendah berbanding sebelum pra pandemik.
Terdahulu, Disney telah membuang lebih 7,000 pekerjaan pada 2023 menyebabkan penjimatan kos sebanyak 5.5 bilion USD.
Mereka juga telah mengurangkan tenaga kerja di ABC News Group dan Disney Entertainment Networks sebanyak 6 peratus.
Pada akhir tahun lalu, syarikat ini menggaji kira-kira 233,000 orang pekerja di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, sekitar 76% adalah pekerja sepenuh masa, 16% pekerja sambilan, dan 8% merupakan pekerja sementara. -UTUSAN