Diskaun hartanah 5 peratus diperluas kepada semua - Kon Yeow

Diskaun hartanah 5 peratus diperluas kepada semua – Kon Yeow

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan Pulau Pinang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini sebulat suara bersetuju memperluas pemberian diskaun lima peratus bagi pembelian unit hartanah siap tidak terjual (overhang properties) kepada semua pembeli.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemberian diskaun itu bertujuan merangsang sektor hartanah di negeri ini selain mengelakkan daripada berlakunya lambakan unit hartanah yang tidak terjual.

Beliau berkata, seperti yang dijelaskan sebelum ini, syarat-syarat pembelian hartanah tersebut bagaimanapun masih dikekalkan seperti pengumuman awal.

Katanya, antara syarat itu ialah diskaun yang diberikan adalah bagi tempoh satu tahun iaitu di bawah Kempen Pemilikan MADANI (MOC) dan ia terhad kepada pemaju yang mengambil bahagian serta berdaftar dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) sahaja.

“Selain itu, pembelian juga tertumpu kepada unit-unit yang dikenal pasti sebagai tidak terjual yang mana maklumat berkaitan akan diperoleh daripada pihak Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC),” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju menggalakkan pemaju swasta untuk menawarkan diskaun tersebut kepada pembeli rumah pertama dalam kalangan masyarakat India Muslim sahaja bagi tempoh satu tahun.

Kata Sundarajoo, pemberian diskaun yang berkuat kuasa mulai 1 Jun ini sehingga 31 Mei tahun depan itu bagaimanapun tidak melibatkan unit di bawah kuota bumiputera serta tidak menjejaskan mana-mana dasar sedia ada berkaitan pemilikan rumah.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan mahu pemberian diskaun terbabit disemak semula oleh kerajaan negeri agar semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama boleh menikmati keistimewaan berkenaan.

Berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah Negeri Pulau Pinang bagi Suku Keempat Tahun 2024 yang dikeluarkan oleh NAPIC, sebanyak 2,796 unit kediaman telah dikenal pasti sebagai ‘overhang’, melibatkan pelbagai jenis hartanah kediaman di seluruh negeri ketika ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN