Dewan Ulama Pas pertahan Abdul Hadi

Dewan Ulama Pas pertahan Abdul Hadi

Dewan Ulama Pas tetap mahu Abdul Hadi Awang kekal mengetuai parti itu kerana pengalaman dan pengetahuan agamanya yang tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kepemimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Presiden Pas akan terus dipertahankan Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) meskipun terus mengharungi gelodak politik yang tidak menentu.

Ketua Dewan Ulama, Datuk Ahmad Yahaya berkata, keilmuan yang dimiliki oleh Abdul Hadi sangat berharga bagi memastikan perjuangan Islam terus subur di bumi Malaysia.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, Abdul Hadi bukan sahaja memimpin gerakan Islam di Malaysia bahkan turut menjadi rujukan gerakan-gerakan Islam dari seluruh dunia.

Ahmad Yahya

“DUPP mengulangi pendirian untuk mempertahankan gagasan penyatuan ummah yang diperjuangkan oleh Tuan Guru Presiden. Ia adalah ramuan utama dalam memandu perjuangan Islam serta bagi memastikan kestabilan politik dalam dan luar negara dapat dicapai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad berkata, tiada istilah pencen dalam perjuangan, bahkan keringat mereka yang berada dalam perjuangan amat ditagih selagi hayat dikandung badan.

“Ia tidak ada noktah akhir melainkan suatu ketentuan daripada Allah SWT. Begitulah lumrah perjuangan As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin terus berjuang memimpin anak muda Palestin menentang kezaliman Zionis walaupun sekadar berkerusi roda.

“Perjuangan ini terus berputar. Generasi perjuangan ini akan terus bersilih ganti sehingga Hari Kiamat,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan tidak pernah mendengar ura-ura tentang pengunduran Abdul Hadi sebagai Presiden Pas termasuk daripada mulut Ahli Parlimen Marang itu sendiri.

Katanya, khidmat Abdul Hadi bukan sahaja masih di­tagih Pas tetapi buah fikiran dan pendapat beliau terus diperlukan negara ini serta di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, walaupun mu­ng­­kin kesihatan Abdul Hadi tidak seperti dahulu, keada­an itu tidak sampai ke tahap perlu memberi laluan kepada pimpinan lain untuk mengemudi Pas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN