KUALA LUMPUR: Sultan Ibrahim bertitah bahawa darjah, bintang dan pingat Persekutuan yang dikurniakan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong bukan sewenang-wenangnya diberikan, sebaliknya melalui penilaian ketat dan teliti terhadap sumbangan setiap individu terhadap tanah air.
Titah Sultan Ibrahim, walaupun kerajaan telah menggariskan syarat-syarat kelayakan untuk dipertimbangkan, namun Seri Paduka tetap meneliti sendiri setiap calon bagi memastikan hanya mereka benar-benar layak diberi pengiktirafan.
“Mengikut telek pandang saya, hanya individu yang telah lama berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan atau yang telah mengharumkan nama negara, wajar untuk diperkenankan,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran serta Pingat Persekutuan bagi tahun 2025 di Istana Negara.
Sultan Ibrahim bertitah, setiap tahun tidak banyak yang tidak melepasi syarat tersebut.
“Walaupun ada pihak yang melobi, saya tidak akan layan. Pangkat Datuk dan Tan Sri bukan untuk dibeli.
“Kalau ada yang banyak sangat duit, buatlah amal jariah. Bantu orang miskin yang memerlukan,” titah Seri Paduka.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menyeru agar para penerima darjah kebesaran pada tahun ini menghargai dan berbangga dengan pengiktirafan yang dikurniakan kerana ia adalah hasil jasa dan sumbangan kepada negara.
“Oleh itu, penerima yang berjaya hari ini patut menghargai dan berbangga dengan anugerah yang dikurniakan,” titah Seri Paduka.
Sebanyak 116 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, tahun ini.
Antaranya Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang menerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.
Mendahului senarai 116 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 adalah Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar yang dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar yang membawa gelaran Tan Sri.
Dua lagi individu selain Ayob Khan yang menerima Darjah Kebesaran PSM adalah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Zulhelmy Ithnain. – UTUSAN