Boxing bukan untuk lelaki sahaja - Trisha Ooi - Utusan Malaysia

Boxing bukan untuk lelaki sahaja – Trisha Ooi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula daripada sekadar minat, pelakon, Trisha Ooi tidak pernah menyangka aktiviti seni mempertahankan diri menjadi pembuka kariernya sebagai pelagak aksi ngeri dalam industri lakonan.

Menurut Trisha, dia sudah mempelajari pelbagai seni mempertahankan diri sejak di bangku sekolah, namun bertinju atau boxing menjadi aktiviti kegemarannya sehingga kini.

“Ramai yang tahu saya aktif dalam seni mempertahankan diri. Jadi, bila waktu cuti or tiada penggambaran saya akan buat latihan boxing, senaman kardio dan selebihnya memang luangkan masa bersama keluarga saja.

“Saya juga belajar silat dan taekwando sejak di bangku sekolah. Saya memang minat seni mempertahankan diri. Seperti contoh, silat ini mempunyai seninya dan taekwando lebih tangkas.

“Seperti boxing ini sangat fleksibel berbanding seni mempertahankan diri lain. Kerana minat yang mendalam dalam seni mempertahankan diri ini, saya sudah mula membuat lagak aksi pada usia 18 tahun,” katanya kepada Pancaindera.

Sedar aktiviti ini juga membawa kepentingan terhadap kaum wanita, Trisha atau nama lengkapnya Reyshqa Aqiera Mohd. Nasron Ooi berkata, bertinju bukan sahaja boleh membantu dari segi kesihatan malah, menjadi ilmu asas untuk mempertahankan diri sewaktu berlaku kecemasan.

“Boxing ini perlu ada minat. Sama seperti berlakon, kita perlu ada minat untuk berlakon. Tetapi, untuk wanita aktiviti ini sangat penting sebab boleh ajar kita pertahankan diri di waktu kecemasan.

“Saya rasa aktiviti ini adalah satu perkara yang penting untuk wanita mula lakukan untuk zaman sekarang terutamanya untuk kesihatan. Aktiviti seperti ini juga boleh menjamin tahap kesihatan kita pada usia tua nanti.

“Terpulang juga kepada minat seseorang itu. Seni mempertahankan diri ini luas. Ada orang minat silat, boxing dan sebagainya. Tetapi boxing ini sangat fleksibel untuk wanita bagi saya,” jelasnya.

Ditanya mengenai tips untuk meningkatkan keberanian kaum wanita bagi mencuba aktiviti lasak seperti ini, Trisha menyarankan supaya mencari teman yang mempunyai minat yang sama agar dapat mengekalkan momentum secara konsisten.

“Saya pernah memberi ceramah tentang tips boxing kepada kaum wanita. Memang betul aktiviti ini didominasikan oleh kaum lelaki tetapi tidak salah untuk wanita mencuba.

“Untuk jadikan aktiviti ini lebih menyeronokkan kita perlu cari kawan yang mempunyai minat yang sama. Barulah ada semangat.

“Apabila sudah dapat momentum dan terbiasa melakukan aktiviti itu barulah boleh konsisten. Sekarang pun banyak saja kelas boxing yang khas untuk wanita saja,” katanya lagi.

Pun begitu, pelakon berusia 26 tahun itu menegaskan untuk memupuk minat terhadap sesuatu aktiviti tidak semestinya perlu mengeluarkan wang ringgit kerana segalanya sudah boleh belajar melalui hujung jari.

“Memang betul bila kita minat untuk melakukan sesuatu perkara kita perlu melaburkan wang ringgit. Tetapi, zaman sekarang sudah berubah, segalanya berada di hujung jari.

“Di media sosial juga banyak content yang berkongsi tentang pelbagai topik yang berkaitan dengan minat seseorang. Jadi, aktiviti itu kita boleh buat sendiri di rumah tanpa perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan.

“Dengan pengetahuan yang saya peroleh daripada media sosial juga ia memberikan kelebihan kepada karier saya sebagai pelakon lagak aksi,” kongsinya.

Menjadi pelakon lagak aksi sudah semestinya sentiasa berdepan dengan risiko untuk mengalami kecedaraan apatah lagi malang tidak berbau.

Namun, aktres berjiwa lasak ini belum pernah berdepan dengan sebarang kecederaan serius sewaktu melakukan aktiviti kegemarannya itu kerana sudah mengetahui teknik yang betul.

“Saya tidak pernah mengalami sebarang kecederaan yang serius sebab saya sentiasa mulakan dengan berhati-hati. Ramai yang fikir boxing ini aktiviti yang lasak.

“Jika kita mendalaminya ia sama seperti sukan yang lain. Aktiviti ini juga bukan untuk berkeras semata-mata, pergerakannya juga sebahagian daripada senaman,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN