KLANG : Polis merakam keterangan tiga lelaki tempatan termasuk individu yang terselamat dalam insiden melibatkan sebuah bot terbalik di perairan Tanjung Harapan di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya
dalam siasatan lebih lanjut bagi tujuan mengenal pasti punca utama kejadian.
“Keterangan juga telah diambil daripada tiga individu iaitu seorang mangsa yang terselamat dan dua orang awam lain.
“Dua individu itu termasuk seorang yang membuat panggilan kecemasan ke MERS 999 dan seorang lagi yang membantu menarik bot karam berkenaan ke jeti berdekatan Pejabat Maritim Malaysia Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi mencari dan menyelamat di sini.
Katanya, setakat ini pihaknya mendapati hanya enam mangsa berumur antara tiga hingga 50 tahun antara yang terlibat dalam insiden bot terbalik tersebut.
“Siasatan berkaitan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan.
“Tiga lagi yang maut telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat dan telah diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian,” katanya.-UTUSAN