Bot karam: Tiada jaket keselamatan punca tiga maut

Bot karam: Tiada jaket keselamatan punca tiga maut

S. VIJAYA RAO sewaktu sidang akhbar berkenaan kes bot terbalik di Pelabuhan Klang, Selangor hari ini. -UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan cuai tidak memakai jaket keselamatan dipercayai menjadi punca utama kejadian bot karam yang mengorbankan tiga nyawa manakala dua lagi masih hilang di perairan berhampiran Jeti Kelab Kapal Layar Klang, petang semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4.00 petang semalam ketika enam individu menaiki bot berkenaan untuk ujian pandu uji selepas kerja pembaikan dilakukan terhadap bot tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, tiada seorang pun daripada mangsa memakai jaket keselamatan ketika insiden berlaku.

“Pusingan pertama dilakukan oleh pemilik bot bersama dua pekerjanya. Tiada masalah berlaku dalam pusingan pertama.

“Namun dalam pusingan kedua, pemilik membawa tiga mangsa menaiki bot yang sama dan pada ketika itulah bot tiba-tiba karam,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Tambah Vijaya Rao, bot tersebut digunakan oleh pemiliknya sendiri bagi tujuan pelayaran komersial dan rekreasi serta pernah berfungsi sebagai penghantar barang.

“Bot ini memiliki tanda ‘P’ iaitu untuk tujuan penumpang dan juga ‘persiaran’. Ia telah dibaik pulih dan sedang diuji oleh pemiliknya ketika kejadian berlaku,” katanya.

Menurut beliau, tindakan tidak memakai jaket keselamatan amat berbahaya dan mengundang risiko tinggi terutamanya ketika berada di laut terbuka.

“Dalam sebarang aktiviti di laut, aspek keselamatan sangat penting, kecuaian kecil boleh mengakibatkan pelbagai risiko tidak diingini berlaku.

“Saya selalu nasihatkan agar semua yang melakukan aktiviti di laut mengutamakan ciri-ciri keselamatan termasuk pemakaian jaket keselamatan dan mempunyai kemahiran asas berenang,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi mencari dan menyelamat di sini.

“Perkara ini sering kali diabaikan oleh pemilik atau pengendali bot, sedangkan ia adalah aspek keselamatan paling asas. Kami menasihatkan semua pihak agar lebih berdisiplin dan mematuhi garis panduan keselamatan laut,” ujarnya.

Katanya, tiga mangsa yang maut telah dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing manakala usaha mengesan dua lagi mangsa diteruskan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Tambah beliau, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan bot secara cuai dan membahayakan.

Menurutnya, tiada unsur jenayah dikenal pasti setakat ini dan fokus kini adalah mencari dua lagi mangsa yang masih hilang.

Buat masa sekarang misi pencarian oleh pihak Bomba masih dijalankan sehingga pukul tujuh malam hari ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN