BESUT: Berselang masa 30 jam, pekarangan Masjid Hadhari, Jertih, di sini sekali lagi menerima ‘kehadiran’ pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), namun kali ini diiringi dengan suasana sayu dan pilu.
Sebanyak 13 jenazah penuntut institusi pengajian tinggi berkenaan tiba kira-kira pukul 3 pagi bersama konvoi yang membawa dan mengiringi mereka dari Ipoh, Perak.
Masjid itu adalah lokasi sama tempat mereka berkumpul sebelum berpisah dengan keluarga pada pukul 9 malam, kelmarin untuk menaiki bas pulang ke UPSI Tanjung Malim bagi meneruskan perjuangan menuntut ilmu.
Namun, nahas berlaku apabila bas membawa mereka terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, Perak yang meragut 15 nyawa.
Terdahulu, ahli keluarga dan sanak-saudara kepada 13 mangsa kejadian itu setia menanti lebih tujuh jam ketibaan jenazah di Masjid Hadhari untuk disolatkan serta memberi penghormatan terakhir seterusnya dikebumikan.
Sejak pukul 7 malam tadi, mereka mula berkumpul dengan wajah penuh kedukaan menanti ketibaan jenazah. Sejurus selepas tiba, semua jenazah diusung dengan bantuan ahli jawatankuasa masjid dan jemaah.
Jenazah yang siap dikafankan disolatkan buat kali kedua di masjid itu pada pukul 3.15 pagi oleh lebih 1,000 jemaah dan ahli keluarga mangsa.
Solat jenazah diimamkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Semua urusan di masjid berkenaan berjalan lancar, dengan jenazah-jenazah penuntut UPSI itu kemudian dibawa pulang oleh keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.
Jenazah dua lagi mangsa iaitu Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, terlebih dahulu selamat dikebumikan, masing-masing di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak di Hulu Besut serta Tanah Perkuburan Islam Kampung Amer, di sini. – UTUSAN