Di saat sibuk mencipta nama sebagai anak seni, penyanyi, Indah Ruhaila memilih alam semula jadi sebagai ruang untuk mencari ketenangan minda dan emosi.
Menurut Indah atau nama sebenarnya, Siti Ruhailah Hussein, aktiviti seperti berkhemah dan melancong ke lokasi yang dikelilingi hutan, sungai dan air terjun telah menjadi rutin wajib dalam hidupnya meskipun bercuti di dalam atau luar negara.
“Hobi yang saya kirakan paling selalu saya buat selain memasak adalah camping dan melancong di tempat-tempat yang dipenuhi sumber alam semula jadi seperti hutan, sungai dan air terjun untuk mendapatkan ketenangan.
“Walaupun saya pergi bercuti di luar negara, saya akan pastikan saya ke tempat yang ada alam semula jadi,” katanya kepada Pancaindera.
Kata Indah, dia sudah melakukan aktiviti ini sejak sebelum mendirikan rumah tangga lagi namun, berasa beruntung kerana suaminya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik turut berkongsi hobi yang sama.
“Jadi, kami memang akan berkhemah dan bercuti ke tempat tempat sebegitu di dalam dan luar negara,” jelasnya.
Tambah penyanyi yang berusia 38 tahun itu, berkhemah dan melancong merupakan aktiviti yang boleh menjaga kesihatan mentalnya selain mahu berehat dari kesibukan bekerja.
Pada masa sama, Indah mengakui berkhemah sambil melancong juga merupakan antara aktiviti yang mencabar ketahanan dirinya lebih-lebih lagi apabila mereka perlu meredah hutan sebelum tiba di tapak perkhemahan.
“Ada kalanya aktiviti seperti ini mencabar sebab apabila melibatkan alam semula jadi ini kita perlu persiapkan tenaga dan stamina.
“Ini kerana kita perlu berjalan, berdiri, meredah hutan dan mendaki ke tapak perkhemahan. Lebih mencabar ialah kita perlu angkut barang-barang perkhemahan ketika meredah hutan,” katanya lagi.
Pada masa sama, penyanyi lagu Pudar itu turut menyifatkan kedua dua aktiviti kegemarannya ini sangat istimewa di hatinya kerana dapat mengajar dirinya berdamai dan menikmati keindahan alam semula jadi.
“Khemah dan melancong ini sangat istimewa bagi saya. Setiap kali saya lakukan kedua-dua aktiviti ini saya akan belajar pelbagai perkara baharu. Salah satunya cara ketahanan dan ilmu kemahiran hidup.
“Dalam pada itu, saya dapat melepaskan diri dari segala stres apabila dapat mendengar bunyi air sungai dan hirup udara yang segar di hutan,” katanya.
Ditanya sama ada dia ada menyertai sebarang komuniti berkaitan perkhemahan, penyanyi itu mengakui dia lebih sukakan privasi dan melakukan aktiviti itu bersama insan tersayang.
“Setakat ini, saya tidak pernah menyertai mana-mana kelab camping. Saya lebih suka buat bersama keluarga atau kenalan rapat sebab kami sukakan privasi,” jelasnya.
Pun begitu, Indah mengakui kedua-dua aktiviti kegemarannya ini memerlukan perbelanjaan yang besar, namun dia tidak pernah berkira demi merasai kepuasan dan ketenangan diri.
“Berkhemah dan melancong sememangnya antara aktiviti yang memerlukan banyak modal. Kalau melancong memang banyak perbelanjaan yang akan dilaburkan.
“Camping juga perbelanjaannya boleh tahan kerana peralatan dan kelengkapannya semua mahal. Mungkin boleh mencecah sekitar RM10,000 hingga ke RM15,000,” ceritanya.