Perubahan iklim global semakin meruncing dan membawa bencana serta penderitaan kepada rakyat biasa, terutamanya golongan miskin di negara-negara Selatan Global.
Kita kini berdepan dengan banjir yang lebih teruk, kemarau yang mengganggu sistem tanaman, paras laut yang semakin meningkat, dan glasier yang mencair dengan kadar yang menakutkan.
Pada Hari Alam Sekitar Sedunia ini (5 Jun 2025), marilah kita renungi punca sebenar masalah ini, iaitu pencemaran karbon akibat penggunaan bahan api fosil secara berlebihan.
Penggunaan bahan api fosil menghasilkan Gas Rumah Hijau (GRH), terutamanya Karbon Dioksida (CO₂).
Menurut Global Energy Review 2025, jumlah pelepasan CO₂ dari industri tenaga meningkat sebanyak 0.8% pada tahun 2024 kepada 37.8 bilion tan. Ini merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah. Oleh sebab itu, tahap CO₂ dalam atmosfera mencecah 422.5 ppm pada tahun 2024, iaitu 50% lebih tinggi berbanding tahap pra-industri dan 3 ppm lebih tinggi daripada tahun 2023.
Sumber pelepasan karbon yang utama:
- Gas asli menyumbang paling besar kepada peningkatan pelepasan karbon global, dengan peningkatan sebanyak 2.5% (180 juta tan CO₂), dipacu oleh permintaan tinggi di China, Amerika Syarikat, Timur Tengah, dan India.
- Arang batu, walaupun murah, adalah bahan api fosil paling mencemar alam, menyumbang tambahan 0.9% (135 juta tan CO₂) pada tahun 2024.
Meskipun pelbagai usaha dilakukan sejak Perjanjian Paris 2015, paras karbon atmosfera terus meningkat. Pendekatan dominan hari ini seperti pembelian kredit karbon, imbangan karbon, dan jual beli di pasaran karbon tidak memberi kesan yang diharapkan.
Negara-negara maju terus mencemar dunia dan melepaskan tanggungjawab dengan membayar negara lain untuk “projek hijau”, walaupun tanpa persetujuan komuniti tempatan, seperti di Marudi, Sarawak.
Satu kajian oleh Probst et al. (2024) menunjukkan bahawa daripada 972 juta kredit karbon yang dikeluarkan, 812 juta tidak membawa kepada pengurangan sebenar. Ini merupakan satu kegagalan besar dan jumlah ini lebih tinggi daripada pelepasan karbon tahunan negara Jerman.
Malah, Lembaga Penasihat Saintifik Eropah untuk Perubahan Iklim (ESABCC) pada 2 Jun 2025 menggesa agar Kesatuan Eropah (EU) menghentikan penggunaan kredit karbon, sebaliknya menurunkan pelepasan GRH sebanyak 90-95 peratus menjelang tahun 2040 berbanding tahap tahun 1990.
Prof. Jette Bredahl Jacobsen menegaskan, “Kita perlu kurangkan kebergantungan pada bahan api fosil dan teknologi untuk melaksanakannya sudah pun sedia ada.”
Negara-negara maju seperti AS, UK dan Eropah, yang telah mencemar bumi sejak era pra-industri, wajib mengurangkan pelepasan karbon mereka secara drastik. Menurut IPCC 2024, karbon perlu dikurangkan sebanyak 7.5% setiap tahun untuk mengelakkan bencana iklim.
Negara-negara maju perlu berhenti “menyumberkan luar” (outsourcing) tanggungjawab iklim kepada negara kurang maju dengan menghentikan pembelian kredit karbon. Taktik murahan ini membolehkan negara-negara maju terus berurusan seperti biasa tanpa menurunkan pelepasan domestik mereka secara drastik.
Tindakan yang betul-betul mengurangkan pelepasan karbon amat penting.
Menurut Laporan IPCC 2023, untuk menghadkan kenaikan suhu kepada 1.5°C, pelepasan karbon dunia harus dikurangkan sebanyak 43% pada tahun 2030 berbanding tahap pada 2019 dan dikurangkan ke tahap 60% pada tahun 2035.
Untuk mencapai kadar pengurangan drastik ini, kita tidak boleh terus bergantung kepada kredit karbon yang dibeli di pasaran karbon. Mengikut Morgan Stanley, nilai pasaran karbon dijangka meningkat dari hampir AS$2 billion pada tahun 2022 kepada AS$100 billion pada tahun 2030, dan AS$ 250 billion pada tahun 2050. Pasaran karbon adalah satu perniagaan di mana syarikat mengutamakan keuntungan.
Lagi pun, menurut ESABCC, didapat bahawa hanya 16 % kredit karbon yang dijual beli di pasaran karbon selama ini telah menyumbang kepada penurunan karbon sebenar. Mengapa kejayaan begitu kecil sekali?
Anda fikirlah sendiri. Pemain utama dalam pasaran karbon, iaitu syarikat broker, konsultan dan sebagainya akan mengutamakan keuntungan sendiri atau memastikan penurunan sebenar paras pelepasan karbon yang mendadak dengan segera untuk kebaikan semua rakyat jelata seluruh dunia.
Usaha pengurangan karbon perlu pengorbanan keuntungan. Jika kita pentingkan keuntungan wang, paras karbon tidak akan turun.
Cadangan PSM untuk mengurangkan pelepasan karbon adalah :
- Negara-negara maju harus menggubal rang undang-undang di mana syarikat-syarikat besar di dunia terpaksa mengurangkan pelepasan karbon sendiri secara mendadak tanpa sistem kredit karbon atau imbangan karbon.
- Syarikat minyak yang kaya raya di dunia perlu menghentikan usaha mencarigali petroleum dan gas asli.
- Pertingkatkan lagi pelaburan sumber tenaga boleh diperbaharui untuk perindustrian dan sistem pengangkutan.
- Malaysia menggunakan peranan sebagai Pengerusi ASEAN untuk membawa tindakan bersama dalam mengurangkan pelepasan karbon sebenar di peringkat ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
- Tolak perdagangan karbon yang jelas gagal.
Untuk melaksanakan cadangan di atas, kita memerlukan sistem ekonomi yang mementingkan kesejahteraan rakyat 99 peratus dan bukan keuntungan syarikat mahakaya yang dimiliki oleh golongan satu peratus terkaya di dunia.
Namun, ini sukar dilakukan kerana pasaran dunia dimonopoli oleh golongan kapitalis satu peratus terkaya yang hanya pentingkan diri sendiri dan keuntungan mereka. Syarikat petroleum yang kaya raya di dunia enggan mengurangkan keluaran mereka langsung.
Mereka cuba mempengaruhi perbincangan perubahan iklim dan menghalang sebarang resolusi mengurangkan pengeluaran bahan api fosil di COP 29.
Masalah hanya akan selesai jika dunia berubah dari sistem kapitalis kepada sistem ekonomi sosialis di mana kepentingan dan kesejahteraan 99 % rakyat biasa menjadi motif utama kepimpinan.
Dr. Cecilia Anthonysamy
Ahli Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli,
Parti Sosialis Malaysia