PETALING JAYA: Penyanyi, Ernie Zakri, tidak menolak sekiranya berpeluang berkolaborasi dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk album Sababat yang bakal dilancarkan tahun ini.
Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, bagaimanapun menjelaskan berduer dengan penyanyi nombor satu negara itu adalah impian besarnya sejak dahulu.
“Insya-Allah, semua benda masih dalam perancangan. Ada penambahan penyanyi sebenarnya. Jadi, kita akan dedahkan tidak lama lagi sama ada ada atau tak (Siti Nurhaliza).
“Saya berdoa agar karier saya panjang supaya saya sempat dan dapat berduet dengan individu hebat terbabit,” katanya.
Ernie ditemui di sidang media single terbaharunya dengan penyanyi Indonesia, Anggi Marito berjudul Kisah Penuh Kecewa, hari ini.
Ditanya adakah penyanyi itu sudah mempunyai lagu khas bersama Siti dalam simpanannya, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39 itu memberi bayangan belum ada namun sudah ada sesuatu yang dibisikkan kepada pengurus Siti.
“Buat masa sekarang, lagu dengan Siti belum ada lagi. Saya sangat berharap dapat merakamkan lagu duet bersama tapi semua ini harus dirancang dengan teliti.
“Saya pasti dan sangat yakin yang beliau juga sangat sibuk sebab kami di bawah bumbung yang sama (Universal Music Malaysia). Beliau sedang sibuk menguruskan banyak benda sekarang ini.
“Perancangan kena berjalan dengan baik untuk kedua-dua pihak. Saya dah bisik-bisik dengan Kak Rozie (pengurus). Itu yang saya mampu setakat ini,” katanya lagi.
Tambah Ernie, Album bertajuk Sahabat yang bakal diluncurkan tidak lama lagi akan memuatkan 10 buah trek termasuk Kisah Penuh Kecewa duet dengan Anggi Marito dan lagu bersama Ade Govinda. -UTUSAN