MELAKA: Seorang bekas pengarah jabatan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tujuh hari selepas disyaki menyalahgunakan kuasa menggunakan dana berjumlah RM50 juta untuk pelaburan saham.
Perintah reman sehingga 23 Jun ini dikeluarkan Majistret N. Sivashangari terhadap suspek lelaki berusia 57 tahun.
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi, diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek ditahan pada pukul 1 tengah hari semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
Menurut sumber, suspek disyaki melakukan perbuatan itu dari 2020 hingga 2023 dengan melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank, sebagai ejen pelaburan bagi pelaburan saham berjumlah kira-kira RM50 juta.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan dana wang awam dan juga wang amanah itu tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan.
Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN