Bapa tujuh anak didenda RM13,000, rempuh kereta

Bapa tujuh anak didenda RM13,000, rempuh kereta

MUHAMMAD FIRDAUS Abdullah didenda RM13,000 oleh dua mahkamah majistret berasingan atas dua pertuduhan merempuh kenderaan di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bapa kepada tujuh anak didenda sebanyak RM13,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini atas dua pertuduhan merempuh sebuah kenderaan serta memandu secara tidak cermat di Jalan Tun Abdul Razak, di sini Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Abdullah, 50, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab dan Nur Fatin Mohamad Farid.

Dia turut diperintah menjalani hukuman penjara selama 18 bulan jika gagal bayar denda serta lesen kenderaannya diendors oleh mahkamah selama enam bulan.

Di hadapan Atifah Hazimah, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan melanggar sebuah Perodua Axia sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM15,300 kepada mangsa pada pukul 3.10 petang di Jalan Susur 6, Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru.

Dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Di hadapan Nur Fatin pula, tertuduh didakwa memandu tanpa kecermatan dan perhatian yang sepenuhnya sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain pada masa dan lokasi sama.

Dia didakwa di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan boleh dipenjara tidak melebihi 12 bulan selain lesen memandu diendors oleh mahkamah.

Pendakwaaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan Amirah Tasnim Saleh.

Beberapa hari lalu, tular rakaman video berdurasi 19 saat memaparkan sebuah Toyota Hilux merempuh Perodua Axia secara mengundur sebelum melarikan diri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN