Balu Tun Daim gesa IPCC siasat satu laporan polis dibuatnya

Balu Tun Daim gesa IPCC siasat satu laporan polis dibuatnya

TOH Puan Naimah Abdul Khalid ketika ditemui media selepas membuat aduan kepada IPCC di Kementerian Dalam Negeri Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin menggesa supaya Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) menjalankan siasatan berhubung kegagalan pihak polis dalam mengambil sebarang tindakan terhadap satu laporan yang dibuat olehnya pada September tahun lalu. 

Toh Puan Na’imah Abdul Khalid turut mendakwa sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil oleh pihak berkuasa walaupun sudah beberapa bulan berlalu sejak laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, sebelum ditukarkan ke IPD Sentul. 

Menurut Na’imah, kehadirannya ke IPCC hari ini bertujuan menyerahkan aduan bagi meminta suruhanjaya berkenaan menjalankan siasatan mengapa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak polis. 

“Setakat yang saya tahu, polis belum menjalankan sebarang siasatan kerana tiada tindakan susulan, kami pun tidak tahu siapa pegawai penyiasat (IO) bagi laporan itu. 

“Jadi saya datang ke IPCC untuk meminta IPCC menyiasat kenapa polis tidak melakukan apa-apa terhadap laporan (polis) saya,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini. 

Beliau yang hadir dengan ditemani peguam, Rajesh Nagarajan menyerahkan aduan kepada IPCC sekitar pukul 11.30 pagi sebelum keluar kira-kira sejam kemudian. 

Pada 30 September 2024, media melaporkan Na’imah telah membuat laporan polis berhubung artikel Bloomberg mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tun Daim. 

Sebelum ini, laporan Bloomberg dengan memetik sumber mendakwa, SPRM telah diarahkan untuk menyiasat bekas Menteri Kewangan itu dan Tun Dr Mahathir Mohamad serta anak-anak bekas Perdana Menteri terbabit. 

Mengulas lanjut, Na’imah berkata, ketika menyerahkan aduan tersebut, beliau hanya diberitahu untuk menunggu sekitar dua hingga tiga minggu untuk maklum balas kerana perlu mengikut giliran aduan yang difailkan. 

“Saya berharap IPCC tanpa rasa takut atau pilih kasih akan menyiasat laporan saya mengapa Perdana Menteri tidak disiasat dan mengapa tiada tindakan diambil terhadap laporan polis saya,” ujarnya. 

Pada 3 Jun lalu, SPRM berjaya memperoleh perintah untuk membekukan beberapa aset luar negara milik Na’imah yang dianggarkan bernilai £132 juta (RM758.2 juta).

Antara aset-aset yang dibekukan ialah dua bangunan komersial, tiga kediaman mewah, dua kediaman dan satu akaun bank yang kesemuanya terletak di sekitar London. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN