Bacaan Yasin, tahlil untuk mangsa nahas tragis di Perak - Utusan Malaysia

Bacaan Yasin, tahlil untuk mangsa nahas tragis di Perak

MAJLIS bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lebih 300 orang menyertai majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat buat mangsa yang terkorban dalam beberapa kemalangan tragis yang berlaku di negeri Perak sejak setahun lepas, termasuk nahas bas mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lalu.

Ia termasuk mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut pada 23 April 2024 dan kemalangan maut mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.

Selain itu bacaan juga buat lima sekeluarga termasuk empat beradik yang berasal dari Perak maut dalam kemalangan jalan raya berdekatan Jerantut, Pahang pada Sabtu lalu.

Bacaan diadakan di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) yang diketuai oleh Imam Besar masjid tersebut, Abd. Farid Salleh selepas solat Asar.

Kata Abd. Farid majlis dianjurkan oleh Masjid Negeri bersama Rumah Ngaji (RN) Perak, Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP) serta Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM).

Katanya, program itu adalah sebagai tanda solidariti umat Islam untuk mendoakan para mangsa.

“Kesemua mangsa ini terkorban semasa bertugas dan juga dalam perjalanan untuk pergi menuntut ilmu. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatun Hadayiah Harun berkata, bacaan turut diadakan serentak oleh pihaknya di beberapa lokasi lain antaranya Kampung Gajah, Kuala Kangsar, Gerik dan Kampar.

Jelasnya, program seperti itu adalah kali pertama dianjurkan dan melihat usaha tersebut sebagai satu tanggungjawab sosial.

“Cadangan ini timbul pada hari Selasa. Rabu mesyuarat dan dilaksanakan hari ini. Kami bersyukur apabila dapat mengadakan program ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN