Azmir Shah hasilkan pisang goreng sejuk beku pertama di Perak

Azmir Shah hasilkan pisang goreng sejuk beku pertama di Perak

AZMIR Shah Amir menunjukkan pisang goreng sejuk beku yang dihasilkan pada FAMA Fest 2025 Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak baru-baru ini. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Seorang usahawan di Taman Tasik Baru, Ipoh berjaya menghasilkan pisang goreng sejuk beku yang mendapat sambutan menggalakkan.

Azmir Shah Amir, 40, berkata, idea untuk menghasilkan produk itu tercetus semasa dia menyediakan bekalan pisang kepada peniaga pisang goreng dan restoran di Perak dan Selangor.

Katanya, dia mendapati peniaga berdepan masalah kerana pisang tidak boleh disimpan lama, paling lama seminggu dan selepas itu tidak lagi sesuai untuk digoreng.

“Ini membuatkan saya terfikir untuk menghasilkan pisang goreng sejuk beku, iaitu produk yang tahan lama dan boleh dimasak pada bila-bila masa.

“Hasil percubaan beberapa kali dan testimoni beberapa rakan, saya berjaya membuat pisang goreng sejuk beku menggunakan pisang abu.

“Produk sejuk beku yang saya hasilkan boleh tahan lama sehingga enam bulan dan dibuat menggunakan bahan ringkas seperti pisang abu, tepung gandum, tepung beras dan garam.
“Penggunaannya sangat mudah, simpan sahaja dipeti sejuk dan boleh dimasak begitu sahaja dan rasanya enak,” katanya.

Produk pisang goreng sejuk beku ciptaan Azmir itu adalah pertama seumpamanya di Perak.

Menurutnya, dia menggunakan pisang abu kerana rasanya tidak kelat, bergetah, manis dan rangup apabila digoreng.

Azmir Shah menggunakan kira-kira 10 tan pisang untuk menghasilkan produk sejuk beku setiap bulan dan produknya dijual dengan harga RM10 satu bungkusan bagi berat 400 gram.

“Saya tidak sangka idea menghasilkan pisang goreng sejuk beku ini berjaya dan mendapat permintaan yang saya baik. Kini saya boleh menjana pendapatan kasar mencecah lima angka,” katanya.

Menurutnya, kejayaan produk yang dihasilkannya itu dibantu agensi kerajaan negeri iaitu Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) yang mempromosikan produknya melalui penyertaan dalam ekspo dan pameran.

“Bantuan STeP bukan sahaja dapat meluaskan lagi pasaran produk yang saya hasilkan tetapi juga menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam mencapai aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 kerajaan Perak dalam aspek kesejahteraan ekonomi.

“Saya sebagai peniaga amat menghargai usaha kerajaan negeri yang membantu usahawan kecil seperti saya untuk berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Pertanian Perak dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga membantunya dalam aspek pembungkusan dan penyediaan produk yang dihasilkannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN