PETALING JAYA: Tan Sri Dr Azmi Rohani dilantik sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkuatkuasa 1 Julai.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Saya percaya dengan pengalaman yang luas dan kredibiliti, beliau akan dapat memperkukuhkan pentadbiran di Istana Negara serta memainkan peranan sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja dalam membantu serta menjunjung wewenang Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi, 59, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan (Ekonomi dan Pengurusan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebelum ini merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.
Beliau memiliki pengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 33 tahun dan pernah menjawat pelbagai antaranya sebagai Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah Muar dan
pernah berkhidmat di beberapa jabatan termasuk Pejabat Tanah Kluang, Jabatan Pengairan dan Saliran Johor serta Pejabat Tanah Kota Tinggi.-UTUSAN