Ayob Khan kini bergelar Tan Sri

Ayob Khan kini bergelar Tan Sri

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay antara lima individu yang dikurniakan Darjah Kebesaran Tahun 2025 bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.

Ayob Khan menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Mendahului senarai 116 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 adalah Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar yang dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar yang membawa gelaran Tan Sri.

Dua lagi individu selain Ayob Khan yang menerima Darjah Kebesaran PSM adalah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Zulhelmy Ithnain.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd. Shukor Mahmood; Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara. Datuk Donald Joseph Franklin dan Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad, antara enam individu dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Penerima lain ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd. Bakhari Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datuk Ramzi Mansor dan Pakar Bedah Kardiotorasik Hospital Sultanah Aminah, Datuk Dr. Simon Jerome Vendargon.

Lapan individu menerima Darjah Johan Mangku Negara (JMN) antaranya Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Md. Radzi Hashim; Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital, Ma. Sivanesan Marimuthu @ Muthiah.

Turut menerima JMN, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselerasi Eksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Abu Bakar Yusof; Timbalan Naib Canselor Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi dan Ketua Jabatan Ekuiti, Bahagian Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lim Tze Seong.

Empat individu pula menerima Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Chek Zainuddin Chek Jusoh; Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan (R&D) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Boniface Edwin Manung; Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Mohd. Hadzmir Yusoff dan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi, Fazidah Mustafa.

Dalam pada itu, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London, United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md. Hasrin Tengku Hussin dan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin dikurniakan Darjah Johan Setia Diraja (JSD).

Atlet Paralimpik Badminton Negara yang juga pemenang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024, Cheah Liek Hou, antara 16 penerima Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN).

Dua individu dikurniakan Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) iaitu Ketua Penolong Setiausaha Unit Pengurusan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Syed Zaqwanariff Zainudin dan Ketua Pegawai Keselamatan Bahagian Keselamatan Istana Negara, ASP Mohd. Fairouz Hamdi Mohd. Yamin.

Sejumlah 17 individu menerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) termasuk Jurubahasa Isyarat Mahkamah Persekutuan Malaysia, Tan Lee Bee, manakala 50 individu dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan tiga individu menerima Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyelamatkan empat mangsa termasuk dua kanak-kanak dalam insiden bot pelancong terbalik di Teluk Batik, Perak pada Ogos 2023 Leftenan Komander Mohd. Firdaus Arbaain pula penerima tunggal Bintang Jasa Perkasa Persekutuan (JPP).

Sebanyak 116 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN