PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakar sejarah apabila menyaksikan kenaikan pangkat Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral, anak kelahiran Melaka berbangsa Cina, semalam.
ATM dalam kenyataan berkata, Johnny merupakan pegawai kanan berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke jawatan tertinggi itu.
Kenaikan pangkat disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar dan turut disaksikan oleh semua panglima perkhidmatan.
“Kenaikan pangkat ini menunjukkan peluang yang wujud dalam ATM adalah terbuka dan berdasarkan kecemerlangan semasa dalam perkhidmatan.
“Ini juga diharapkan dapat menarik minat bangsa-bangsa lain untuk turut menceburkan diri dalam kerjaya keramat ini. ATM perlu dilihat sebagai contoh terbaik konsep Unity in Diversity (kesatuan dalam kepelbagaian) dan menjadi platform utuh dalam erti kata perpaduan sebenar,” katanya hari ini.
Johnny telah melalui pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Francis, Melaka pada 1973 hingga 1978 dan kemudiannya di Sekolah Menengah St. Francis, Melaka pada 1979 hingga 1983.
Beliau mengikuti latihan pegawai kadet sebagai Tauliah Jangka Tetap Ke-25 (TJT25) dan seterusnya menjalani latihan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, England dan ditauliahkan ke Rejimen Renjer Diraja (RRD). – UTUSAN