ASEAN diseru kecam tindakan Israel terhadap Iran

ASEAN diseru kecam tindakan Israel terhadap Iran

VALIOLLAH Mohammadi Nasrabadi pada sidang akhbar di Republik Islam Iran di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Iran menggesa negara-negara anggota ASEAN supaya mengutuk tindakan Israel dan menyatakan sokongan terhadap usaha Teheran mempertahankan kedaulatannya, susulan serangan selama 12 hari ke atas negara itu.

Duta Iran di Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, ASEAN selama ini sentiasa menekankan pentingnya keamanan dan keselamatan demi kestabilan ekonomi dan perdagangan serantau.

Jelasnya, Iran juga adalah negara yang cintakan keamanan, bukan sahaja di rantau Asia Barat tetapi di peringkat global.

“Adalah wajar jika ASEAN turut menyatakan sokongan terbuka terhadap pendirian Iran dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang bentuk pencerobohan.

“Banyak negara dan blok di seluruh dunia telah mengecam tindakan Israel dan saya berharap ASEAN juga akan berbuat demikian,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kedutaan Iran, hari ini.

Beliau turut menyuarakan hasrat untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN sebagai sebuah blok serantau yang berpengaruh dan berkongsi nilai keamanan serta pembangunan ekonomi.

“Kami mahu bekerjasama dengan ASEAN sebagai blok sahabat dan mengembangkan hubungan dua hala.

“Iran bersedia untuk berunding, bertukar pandangan serta mengemukakan cadangan sebagai rakan kepada negara-negara lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN