Artis kena pandai jaga diri – Shweta Sekhon - Utusan Malaysia

Artis kena pandai jaga diri – Shweta Sekhon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu perkara yang tidak terlihat namun penting diamalkan adalah kemampuan seseorang artis itu untuk membawa diri dengan baik di dalam industri seni ini.

Tidak dinafikan, ramai sahaja artis baharu yang muncul dengan semangat berkobar-kobar, namun tidak semuanya menyedari bahawa kematangan dalam bergaul dan menjaga imej adalah antara aspek penting untuk kekal lama dalam industri.

Perihal isu ‘pandai jaga diri’ bukan sekadar klise, tetapi merupakan satu keperluan yang wajar ada pada setiap artis.

Bukan apa, ketika perhatian umum sentiasa tertumpu kepada gerak-geri selebriti, apa jua tindak-tanduk yang dilihat sumbang sudah tentu mudah dijadikan bahan kontroversi.

Bersetuju dengan hal itu, pelakon baharu, Shweta Sekhon mengakui sikap itu adalah apa yang cuba diamalkannya sejak melangkah masuk ke dalam bidang penuh cabaran ini.

“Tak kisahlah pelakon atau apa sahaja, kalau dah masuk dalam industri seni hiburan, memang kena pandai jaga diri. Tapi sebenarnya dalam apa jua bidang pun, kita kena tahu bawa diri.

“Sebagai seorang manusia terutama sekali seorang wanita, kalau kita sendiri tak jaga harga diri, jangan harap orang lain nak hargai kita.

“Saya sangat percaya pada perkara itu. Bayangkan, kalau saya sendiri tak suka diri saya, macam mana orang lain nak terima saya?” ujar ini.

Berkongsi lanjut, Shweta yang membawakan watak Dr Malini dalam filem Keluang Man, turut menyifatkan rakan industri yang ditemuinya setakat ini banyak memberikan tunjuk ajar sementelah dia juga merupakan pelakon baharu.

Justeru, baginya, dia masih belum mempunyai pengalaman kurang enak ketika di set apa lagi membabitkan isu gangguan pelakon lelaki lain atau kru ketika pertanyaan mengenai hal ini diajukan kepadanya.

“Dalam industri kita ini saya tengok semua tahu jaga batas. Itu perkataan yang saya akan gunakan. Kebanyakan masa, saya rasa orang salah faham bila lelaki melayan baik kepada mana-mana wanita cantik, terutama jika di set.

“Kadang­kala mereka cuma nak tolong berikan botol air pun orang salah faham. Anggap mereka macam ada agenda atau niat lain.

“Tentu sahaja ada yang salah sangka, tapi sebenarnya mereka hanya nak tolong kita sahaja. Jadi menjawab soalan adakah saya pernah diganggu atau dikacau oleh rakan industri ketika berada di set, saya tak pernah.

“Semua saya tengok berniat baik saja dengan saya. Ramai yang tolong beri tunjuk ajar, nasihat, tips sebab saya pun baharu bukan,”jelasnya.

Bagaimanapun, Shweta tidak menolak kemungkinan situasi sebegitu boleh berlaku suatu hari nanti dalam keadaan tidak terjangka.

“Kalau suatu hari nanti saya terjumpa orang seperti itu, yang mengganggu saya di set dan sebagainya, saya rasa saya akan cakap maaf, saya bukan seorang pelakon yang akan buat hal di tempat saya mencari nafkah.

“Saya boleh katakan yang rezeki saya berada dalam bidang ini pun seakan bulan jatuh ke riba. Ini rezeki saya dan saya tak nak ambil benda ini remeh. Kalau boleh saya nak elak kontroversi.

“Tetapi kalau awak suka saya, awak nampak ada potensi untuk bekerja lagi selepas ini, itu hal lain,”ujarnya.

Dalam pada itu, kata pelakon berusia 28 tahun ini, dia juga sebolehnya mahu mengelak daripada terjebak dengan cinta lokasi.

Baginya, sebagai pelakon baharu masih banyak yang perlu dipelajari dan diraihnya dalam bidang lakonan dan fokus utama sudah tentu lebih ke arah itu.

“Saya jelaskan awal-awal, kalau niat hanya untuk main-main, terjebak cinta lokasi atau apa-apa yang tidak serius, saya minta maaf, itu bukan untuk saya.

“Saya seorang yang menghargai masa dan komitmen terhadap kerja. Bila saya selesai penggambaran, saya tidak akan melepak tanpa tujuan. Saya akan ucap terima kasih, mohon maaf kalau ada salah silap dengan semua tenaga kerja di set dan terus pulang ke rumah.

“Saya lebih selesa berehat dan bersedia untuk hari esok, baca skrip, hafal dialog dan pastikan saya benar-benar bersedia untuk tugasan seterusnya.

“Bagi saya, tiada keperluan untuk bazirkan masa dengan perkara yang tidak memberi nilai tambah,”kata Miss World Malaysia 2016 itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN