APG salur elektrik merentasi sempadan

APG salur elektrik merentasi sempadan

FADILLAH bersama-sama Abang Johari dan tetamu kehormat lain bergambar pada majlis makan malam sempena SOME ke-43 di sebuah hotel terkemuka di Kuching, malam tadi. - GAMPAR PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Grid Tenaga ASEAN (APG) memainkan peranan transformatif, yang bukan sekadar satu projek infrastruktur tetapi visi mengenai sebuah rantau dengan tenaga elektrik mengalir merentasi sempadan tanpa halangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia turut merangkumi keselamatan tenaga dikongsi bersama dan kemakmuran satu negara.

“Dengan menyambungkan grid nasional, kita sedang membina tulang belakang kepada pasaran tenaga ASEAN yang benar-benar bersepadu,” katanya pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) Ke-43 yang turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini malam tadi.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, untuk merealisasikan sepenuhnya APG, ia memerlukan kemahuan politik yang lebih kukuh, kerjasama teknikal yang lebih mendalam dan strategi pelaburan yang lebih bijak.

Pada masa sama katanya, ia memerlukan peraturan yang selaras, pasaran yang terbuka dan telus serta inovasi digital untuk merealisasikan dagangan tenaga serantau secara masa nyata.

“Kita perlu menerima bukan sahaja peralatan fizikal seperti kabel, pencawang dan sistem kawalan tetapi juga perisian, rangka tadbir urus, perkongsian data dan kepercayaan bersama.

“Ringkasnya, APG adalah mengenai menjadikan kepelbagaian kita sebagai kekuatan. Ia tentang memanfaatkan geografi yang dikongsi dan sumber daya yang saling melengkapi untuk membina masa depan yang lebih hijau, lebih inklusif dan lebih selamat,” katanya.

Justeru, Fadillah yakin Memorandum Persefahaman (MoU) APG bersama dengan dokumen Pelan Tindakan ASEAN Untuk Kerjasama Tenaga 2026–2030 akan memperkukuh kesalinghubungan tenaga di rantau ASEAN dengan lebih mendalam.

Katanya, pembangunan besar itu akan menjadi pemacu dan pemangkin kukuh kepada pertumbuhan ekonomi di seluruh negara-negara anggota ASEAN.

“Di tengah-tengah visi bercita-cita tinggi ini ialah APG, yang sememangnya merupakan tonggak utama bagi membina masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan dan mampan di seluruh ASEAN.

“Kita amat menantikan detik penting MOU APG dan pengesahan rasmi rujukan syarat-syarat bagi rangka kerja pembangunan kabel tenaga dasar laut.

“Kemajuan penting ini, yang dijadualkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober 2025 pasti akan melonjakkan integrasi tenaga serantau kita ke hadapan,” katanya.

Menurutnya, Malaysia teguh dalam komitmen terhadap peralihan tenaga, dengan sedang giat berusaha meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui, menambah baik kecekapan tenaga dan meneroka penyelesaian inovatif untuk ekonomi rendah karbon.

“Kami percaya dengan bekerjasama erat, berkongsi ilmu pengetahuan dan memanfaatkan kekuatan masing-masing, kita boleh membuka potensi besar dalam sektor tenaga dan membawa perubahan yang bermakna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN