KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) diharap dapat mempertimbangkan perbincangan peruntukan bersama wakil kerajaan iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti itu berhubung perbincangan peruntukan berkenaan.
Menurutnya, beliau sendiri mengharapkan agar cadangan oleh Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk mewujudkan jawatankuasa dapat ditubuhkan oleh kedua-dua pihak.
Jelasnya, penubuhan jawatankuasa tersebut mampu memberi situasi menang-menang antara dua pihak.
“Saya berharap pimpinan PN mungkin boleh melihat kembali perbincangan peruntukan. Namun, pada saya, cadangan daripada ketua pembangkang untuk mewujudkan jawatankuasa bagi kedua-dua pihak mengadakan perbincangan peruntukan pembangkang adalah lebih baik dan menjimatkan masa.
“Pada masa sama, penubuhan jawatankuasa itu dapat mempersetujui syarat dan terma oleh kedua-dua pihak. Saya merasakan cadangan daripada Fadillah akan dibawa dalam mesyuarat MT PN,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bangunan Parlimen, semalam.
Terdahulu, kerajaan sedia berbincang dengan mana-mana ahli Parlimen daripada blok pembangkang berhubung penyaluran peruntukan.
Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan, menyifatkan cadangan itu sudah ditolak oleh blok pembangkang memandangkan hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberikan maklum balas.
Bagaimanapun, beliau bersedia mengadakan perbincangan bersama ahli Parlimen pembangkang secara bersemuka.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada keperluan bagi PN mengadakan rundingan khusus untuk mendapatkan peruntukan pembangkang.
Kata beliau, mandat tersebut diserahkan kepada Ketua Whip dan Ketua Pembangkang sebagai wakil bagi sebarang perbincangan bersama pihak kerajaan.
“Kita telah menyerahkan mandat kepada Ketua Whip dan Ketua Pembangkang, maka tiada keperluan bagi parti mengadakan perundingan khusus. Setakat ini, tiada Ahli Parlimen Pas yang mengadakan perundingan secara peribadi berhubung peruntukan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, PN masih berpegang kepada pendirian bahawa peruntukan pembangkang perlu disalurkan secara langsung kepada parti-parti terlibat.
“Kita masih berpegang perlunya penyaluran peruntukan kepada pembangkang secara langsung sebagaimana ia dilaksanakan di beberapa negeri tanpa sebarang memorandum,” katanya. – UTUSAN










