PETALING JAYA: Penyanyi legenda, Datuk Zainal Abidin memilih untuk tidak memanjangkan isu dakwaan anak perempuannya iaitu Timur Gabriel yang mengatakan dia tiada usaha untuk memperbaiki hubungan antara mereka.
Zainal, 65, memberitahu, dia hanya akan mengulas sesuatu isu jika seseorang itu berbintikan namanya sahaja.
“Tiada apa-apa untuk dijelaskan, dia boleh kata apa sahaja yang dia mahu.
“Namun bagi saya, anak saya hanyalah mereka yang berbintikan Zainal Abidin. Kalau bukan menggunakan nama itu, maka bukanlah anak saya. Itu sahaja jawapan saya, katanya kepada Utusan Malaysia.
Zainal memaklumkan perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Legasi P.Ramlee di Finas, Kuala Lumpur pada Rabu.
Malah Zainal juga menjelaskan bahawa dia tidak berkecil hati dengan dakwaan dibuat anaknya dan menyerahkan segala urusan kepada Tuhan.
“Dia ada hak untuk berkata apa dia mahu. Silakan. Tapi saya tidak akan membalas apa-apa. Kenapa? Sebab saya percaya, Allah lebih mengetahui.
“Itu pandangan peribadi saya, tidak seharusnya saya berkongsi tentang hal itu. Saya cuma mahu berkongsi dengan anda mengenai kerjaya saya,” katanya.
Baginya hanya karya dan hasil yang diberi perhatian untuk dikongsi pada peminat.
“Kalau anda nak tahu tentang Konsert P.Ramlee, album baharu, konsert saya, semua itu saya terbuka untuk berkongsi. Tapi soal ini terlalu peribadi.
“Mereka boleh bercakap sesuka hati sebab apa yang dikatakan tidak benar. Kalau perkara itu betul, kerjaya saya pasti sudah musnah,” katanya.
Pada Januari lalu, Timur Gabriel mendakwa hubungan bersama bapanya renggang dan mereka tidak lagi berhubung meskipun memiliki nombor telefon satu sama lain.
Sekadar info, Timur Gabriel merupakan anak hasil perkahwinan Zainal dengan bekas isteri, Natasha Gabriel.
Zainal dan Natasha mendirikan rumah tangga pada Mac 1987, namun disahkan bercerai pada Disember 2000. Selain Timur, pasangan itu juga dikurniakan seorang anak lelaki.-UTUSAN